Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, December 21, 2014

KUANTAN: PADAH MAIN JUDI SABUNG AYAM


Kuantan - Perbuatan tujuh pekerja binaan warga asing mengeksploitasi ayam sabung bagi tujuan perjudian ditegur kerana tindakan itu dianggap kejam dan satu penganiayaan terhadap haiwan.

Teguran dibuat Majistret Jesseca Daimis terhadap semua tertuduh Hadiri, Mat Tohir, Sarkawi, Mukhtar, Md Mizan Mia, Readi dan Bakir Ali, selepas mereka mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan bermain judi sabung ayam di tapak pembinaan sekolah Taman Balok Permai dekat sini, 7 Disember lalu.

Dalam tegurannya juga, Jesseca meminta tertuduh menghentikan hobi tersebut dan berjanji tidak akan menzalimi ayam kesayangan mereka semata-mata untuk memenangi pertaruhan.

“Ayam atau semua haiwan lain perlu dijaga dengan baik bukan disakiti hanya untuk kepuasan diri sendiri,” tegurnya sebelum membuat keputusan.

Mengambil kira faktor pengakuan awal tertuduh yang menjimatkan masa mahkamah, Jesseca mengarahkan enam daripada tertuduh membayar denda RM900 setiap seorang atau penjara tiga minggu jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Manakala Readi yang tidak mempunyai wang untuk membayar denda memilih hukuman penjara sebelum dia dijatuhkan hukuman penjara tiga minggu bermua dari tarikh tangkap, 7 Disember lalu.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota dari Balai Polis Beserah membuat serbuan di tapak pembinaan tersebut kira-kira jam 2.30 petang, 7 Disember lalu dan mendapati tertuduh leka menyabung ayam.

Menyedari kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri bagaimanapun semua berjaya diberkas manakala beberapa ekor ayam sabung yang tercedera dirampas.

Polis turut merampas wang tunai RM4,306 dipercayai wang pertaruhan yang ditemui di lokasi kejadian.

Semua tertuduh ditahan untuk siasatan lanjut dan tiga daripada mereka ditahan reman manakala empat lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Semua tertuduh dihadapkan ke mahkamah semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 7(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu sebelum itu, pihak pendakwaan memohon hukuman yang setimpal terhadap tertuduh kerana tindakan mereka melanggar undang-undang negara ini.

Pihak pendakwaan juga mengemukakan permohonan kebenaran mahkamah untuk melupuskan ayam sabung yang dirampas memandangkan haiwan tersebut cedera.

Manakala semua tertuduh yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM40 sehari memohon hukuman diringankan memandangkan kebanyakan mereka sudah berkeluarga dan mempunyai anak.

0 comments:

share2