Kuantan - Seorang pekerja kilang papan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencederakan seorang anggota polis hingga patah hidung dalam satu kejadian di sini, Januari lalu.
Tertuduh, Ariff Adnan, 31 dari Taman Sri Kemuning, Temerloh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar di hadapan Majistret Jesseca Daimis.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa bertindak demikian bagi tujuan menakutkan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu daripada menjalankan tugasnya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Lorong Seri Kuantan 36 di sini kira-kira jam 2.30 pagi, 25 Januari lalu.
Tertuduh dihadapkan ke mahkamah semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Mengambil kira pengakuan tidak bersalah tertuduh itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM6,000.
Tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Hakimie Ali merayu agar jumlah itu dikurangkan memandangkan jaminan bukan satu hukuman sebaliknya untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah.
Mengambil kira rayuan tertuduh itu, Jesseca membenarkan jumlah jaminan dikurangkan kepada RM3,000 manakala 22 Disember depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan pra bicara kes tersebut.
0 comments:
Post a Comment