Jerantut - Kerajaan negeri akan mengambil pelbagai langkah bagi memastikan bekalan air bersih di daerah ini tidak terputus.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah berkata, kerajaan negeri akan mengambil perhatian mengenai isu bekalan air bersih yang terputus di daerah ini.
“Situasi sekarang menyedihkan dan kerajaan negeri akan menggunakan apa juga cara bagi mengatasi masalah ini,” katanya.
Buat sementara ini, menurut baginda, penduduk Jerantut bergantung kepada bekalan air mineral untuk minum dan masak.
Baginda berkata demikian ketika ditemui mengagihkan bantuan zakat kepada 193 mangsa banjir di pusat pemindahan banjir Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan (Tahap) dan 239 mangsa di pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan Temin, semalam.
Kehadiran baginda diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Haji Yaacob, Adun Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Wan Abdul Razak dan Pegawai Daerah, Ali Syahbana Sabaruddin.
Baginda dalam pada itu bertitah, keadaan banjir di Kuala Lipis dan Jerantut dilihat bertambah baik di mana air banjir di beberapa kawasan juga dilihat semakin menurun.
“Kita harap keadaan sebegini akan berterusan dan mangsa banjir dapat kembali ke rumah masing-masing dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Baginda turut mengingatkan kepada mangsa banjir agar sentiasa menjaga kebersihan terutama tandas dan tempat makan agar terhindar daripada sebarang penyakit.
0 comments:
Post a Comment