Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, December 28, 2014

AIR EMPANGAN NAIK SECARA MENDADAK



Laluan jalan Kampung Batu 38, Jalan Keretapi terputus setelah dinaiki banjir.


Gunung Semanggol - Gelombang ketiga banjir tidak mustahil akan berlaku di sekitar Bagan Serai sekiranya taburan hujan menunjukkan tren peningkatan bermula hari ini.

Perkara itu berikutan tindakan pelepasan air di empangan yang terpaksa dilakukan apabila paras air masing-masing melebihi tahap bahaya.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Datuk Ir Abdul Razak Dahalan berkata, sejak semalam, pihaknya sudah melepaskan air dalam kadar 2,600 kaki padu sesaat Empangan Kolam Bukit Merah melalui Alur Limpah Utara.

Menurutnya, peningkatan mendadak paras air Empangan Kolam Bukit Merah disebabkan kadar taburan hujan mencatatkan pertambahan enam kali ganda daripada biasa.

“Kita terpaksa melepaskan air dari Empangan Kolam Bukit Merah berikutan paras air takungan sudah melebihi tahap bahaya.

“Pelepasan air terpaksa ditumpukan kepada Alor Limpah Utara dan tidak disalurkan ke Terusan Selinsing bagi mengelak tanaman padi yang sedang masak rosak dilanda banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat perkembangan mangsa banjir yang dihadiri kesemua agensi kerajaan, di sini, semalam.

Banjir yang mula melanda kawasan Bagan Serai menyebabkan sejumlah 164 mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Merah, di sini sejak malam semalam.

Sinar Harian dimaklumkan setakat jam 5 petang hari ini, 191 mangsa banjir yang dipindahkan meliputi 8 kampung iaitu Kampung Ban Pisang, Kampung Batu 38, Kampung Batu 40, Kampung Tanjung Bugis, Kampung Parit Mat Keling, Kampung Jalan Kolam Air, Kampung Tebuk Panchor dan Kampung Alor Setangguk dari Mukim Semanggol.

Berdasarkan laporan bilik gerakan pusat pemindahan mangsa banjir, sejumlah 56 rumah terlibat melibatkan 56 keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir sejak 8 malam.

Kaji struktur ban

Sementara itu, Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat menggesa struktur ban kukuh bagi mengelakkan berlakunya banjir lebih besar di sekitar kawasan berdekatan Sungai Kurau.

Menurutnya, terdapat beberapa ban yang sudah dilintasi air dan ada ban yang dikenal pasti struktur tidak kukuh.

“Justeru, saya berharap JPS dan Kerajaan Negeri Perak dapat memastikan keadaan infrastruktur ban tebatan banjir yang dibina kukuh bagi mengelakkan keadaan banjir yang semakin serius dalam masa terdekat,” katanya.

0 comments:

share2