Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 18, 2014

BERA: MASALAH PEMILIK RUMAH PPRT DAPAT PERHATIAN


Keratan akhbar Sinar Harian siaran 16 Disember 2014 yang lalu.


Triang - Keluhan penerima bantuan rumah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) di kawasan berdekatan tapak Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Triang mendapat perhatian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sri Buntar.

Pengerusinya, Abu Bakar Abd Kadir berkata, pihaknya turut dimaklumkan mengenai perkara yang sama oleh Majlis Daerah Bera (MDB) sebagai pelaksana projek PPKB ini, dan mereka sekadar mengikut Standard Operation Procedure (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, bajet bagi pembinaan sebuah rumah tersebut bernilai RM40,000, dan tidak termasuk caj deposit kemasukan kemudahan bekalan elektrik dan pemasangan paip air ke setiap rumah itu.

“Terdapat lima buah PPKB di sini, dan semuanya lengkap dibina dengan kriteria ditetapkan seperti tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur, tandas dan bilik air tetapi tidak termasuk kedua-dua kemudahan itu.

“Saya telah berbincang dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), dan dianggarkan kos deposit yang perlu disediakan setiap tuan rumah mencecah RM700,” katanya.

Semalam, penerima serta pemilik rumah PPKB menyatakan kebimbangan dan keluhan mereka apabila rumah yang mereka terima tidak disediakan kemudahan bekalan elektrik dan air, sebagaimana bantuan perumahan di bawah program-program lain.



Bagaimanapun, difahamkan, terdapat tiga buah rumah PPRT yang sedia ada di tapak sama, kos pembinaan termasuk dengan deposit kedua-dua kemudahan tersebut.

Abu Bakar berkata, melalui perbincangan secara lisan dengan pihak Paip, bagi membolehkan bekalan air disalurkan ke setiap lima buah baharu itu, Paip perlu menambah saluran lain ke kawasan berkenaan, dan kosnya dipercayai bernilai RM15,000.

“Masalah ini melibatkan beberapa pihak, dan pihak JKKK ambil keputusan memaklumkan kepada wakil rakyat di Parlimen Bera agar ia dapat diatasi dengan cara terbaik.

“Ia membabitkan kos tinggi bagi penerima bantuan rumah ini, dan cara terbaik adalah perbincangan di meja bulat dan pencapaian kata sepakat,” kata beliau.

0 comments:

share2