Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 8, 2014

BENTONG : TAK MAHU JANDA BAIK MUSNAH




Janda Baik - Penduduk Janda Baik melahirkan kebimbangan sekiranya pusat peranginan yang semakin meniti di bibir masyarakat negara kita itu akan menjadi seperti Cameron Highlands.

Mereka mendakwa banjir lumpur yang melanda sesetengah kawasan di Janda Baik Selasa lalu sebagai bukti terdapatnya kegiatan penerokaan haram di hutan berhampiran.

Pemilik chalet, Mohd Dum Taib berkata, kejadian itu dianggap terburuk pernah berlaku memandangkan air bah yang dibawa turut menghanyutkan lumpur yang tebal dan berlakunya kejadian tanah runtuh di sebuah jambatan berhampiran chalet miliknya.

Katanya, tanah runtuh terbabit sekali gus mengakibatkan pengadang benteng sungai pecah selain turut mengakibatkan dinding konkrit di bawah jambatan terbabit roboh.

“Selama lebih tiga tahun saya membuka chalet di sini, inilah kejadian paling buruk pernah saya alami.

“Walaupun kerugian dari sudut kerosakan barangan dalam chalet cuma sedikit, namun saya terpaksa berhadapan dengan kerugian dari sudut pelanggan kerana terpaksa membatalkan dan menutup tempahan untuk mencuci beberapa chalet yang dimasuki air berlumpur,” katanya.

“Berlaku hujan lebat di bahagian hulu mungkin mengakibatkan air turun dari bukit dengan laju dan mengakibatkan beberapa kolam ikan di bahagian hulu sungai pecah lalu arus yang deras dibawa turun dan melimpah keluar.

Katanya lagi, memandangkan berlakunya penerokaan hutan di bahagian hulu mengakibatkan hujan lebat yang turun tidak sempat ditadah lalu membawa arus air yang deras dari bukit.

“Janda Baik sememangnya kawasan yang dikenali sebagai tempat tadahan hujan, namun banjir yang berlaku baru-baru ini sebagai bukti terdapat penerokaan hutan secara haram di bahagian hulu sana,” katanya.





Seorang lagi penduduk, Mohd Ziadi Ahmad, 47, berkata, kejadian banjir lumpur yang melanda beberapa kawasan di Janda Baik seperti memberi isyarat mengenai ancaman kepada alam sekitar yang berlaku di kawasan itu pada masa ini.

Mohd Ziadi melahirkan rasa bimbang sekiranya perkara itu tidak dikawal boleh menyebabkan risiko keselamatan kepada mereka sebagai penduduk.

“Saya percaya ia disebabkan banyak kawasan tadahan di ulu Sungai yang telah digondolkan tanpa mengambil kira aspek keselamatan orang lain terutama penduduk di sini,” katanya.

Katanya, trend banjir lumpur yang melanda di kawasan itu jika tidak diatasi segera akan menimbulkan kebimbangan di kalangan pelancong seterusnya mampu melumpuhkan industri pelancongan di situ.

“Saya amat kecewa dengan kejadian yang menimpa ini dan berharap pihak berkuasa supaya bertindak dengan segera bagi mengatasi masalah ini supaya Janda Baik tidak menjadi seperti Cameron Highlands,” katanya.

Tambahnya lagi, kewujudan banyak tong-tong racun dan pokok-pokok yang dihanyutkan air membuktikan penerokaan masih dilakukan di kawasan berkenaan.

“Kami sebagai penduduk asal di sini memang maklum terdapat banyak kawasan yang diteroka di sini untuk pertanian halia terutama di ulu sungai tetapi apa yang boleh kami lakukan dan isu penerokaan terbabit bukanlah perkara baru buat kami.

“Jadi kami berharap pihak terbabit akan memberi perhatian dan memantau kawasan ini bagi memastikan ia tidak akan musnah dan mengancam keselamatan penduduk sekali gus khazanah yang terdapat di kawasan ini akan terus terpelihara demi kepentingan generasi kita di masa akan datang,” katanya.

“Pelancong yang datang ke Janda Baik, bukanlah mereka yang kaya, sebaliknya adalah orang dari bandar dengan pendapatan sederhana yang mahu menikmati keindahan alam sekitar," katanya.

- Sumber 


0 comments:

share2