Kuala Terengganu: UMNO perlu mengatur langkah baru untuk bertindak lebih tegas dan berani bagi menangani asakan pihak yang kini dilihat semakin terbuka mempersoalkan pelbagai perkara hakiki antaranya hak istimewa orang Melayu, institusi Raja Melayu dan agama Islam di media sosial.
Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ramai di kalangan rakyat yang mengatakan UMNO kini tidak tegas dalam menyuarakan aspirasi dan mempertahankan hak orang Melayu sekali gus menyebabkan pihak yang tidak senang dengan keharmonian yang dikecapi selama ini mengambil kesempatan membuat pelbagai bentuk hasutan menggunakan media sosial.
"Ada pihak sudah berani mengkritik dasar yang kita buat dan amalkan secara terbuka tanpa batasan. Ramai di kalangan orang Melayu yang masih mengharapkan UMNO tetapi ramai juga yang bertanya mengapa parti ini sudah tidak lantang, kenapa tiada tindakan diambil sedangkan puak yang mencabar perkara hakiki yang menjadi asas perjuangan kita sejak dulu.
"Mereka juga bertanya mengapa hanya NGO (badan bukan kerajaan) Melayu yang kini semakin banyak dan berani tampil mempertahankan hak Melayu.
"Oleh itu, kita tak boleh diam dan leka serta bergerak atas landasan biasa seolah-olah tiada apa-apa berlaku. Asas yang kukuh yang kita pegang selama ini mesti dipertahankan," katanya ketika berucap pada Konvensyen UMNO Terengganu 2014 di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, bagi menjamin kemakmuran berterusan terus dikecapi rakyat negara ini, beliau secara peribadi berpendapat Akta Hasutan 1948 perlu dikekalkan.
0 comments:
Post a Comment