Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mengelirukan rakyat dengan menjadikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) sebagai alasan untuk mengaut keuntungan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, beliau kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba bertindak mengelirukan rakyat sedangkan CBP belum lagi dilaksanakan.
"CBP belum dimulakan lagi, jangan uar-uarkan dan jangan kelirukan rakyat. Ada peniaga yang cakap beli barangan ini sebelum CBP, seolah-olah memberitahu rakyat bahawa harga barang akan naik selepas CBP dilaksanakan.
"Ada iklan yang mengelirukan pengguna dengan memaklumkan benda yang tiada, seperti jualan murah sebelum CBP, perbuatan ini menyalahi undang-undang dan ada beberapa kes yang sudah pun kita ambil tindakan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Francais Komuniti Zon Utara di sini Sabtu.
Beliau berkata, kerajaan tegas dalam mengawal harga barangan malah ada akta-akta yang membolehkan tindakan diambil terhadap peniaga yang ingkar antaranya termasuklah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Perihal Dagangan 2011.
"Sebab itu kita minta pengguna di seluruh negara mesti bersama dengan kita, memaklumkan jika ada kenaikan harga barangan, kalau ada kita akan ambil tindakan terus, tiada lagi kompaun dikenakan sebaliknya dibawa ke mahkamah untuk diadili," kata Hasan.
Dalam perkembangan lain, Hasan berkata, beliau berbangga dengan kejayaan sistem francais yang diperkenalkan sejak 1992, ia bukan sahaja menambah bilangan syarikat tetapi juga bilangan outlet di dalam dan luar negara.
"Kita ada lebih kurang 748 sistem francais (pelbagai sektor) yang berjaya mewujudkan hampir 7,405 peniaga francaisi di Malaysia. Kita nak kembangkan di luar negara, ada 58 jenama Malaysia yang dibawa ke 53 negara luar, melibatkan kira-kira 2,380 outlet keseluruhannya.
"Daripada 58 jenama yang dibawa ke luar negara, 36 peratus daripadanya melibatkan bidang makanan, manakala selebihnya melibatkan bidang lain seperti hotel, kewangan, kesihatan dan kecantikan," katanya.
0 comments:
Post a Comment