Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, November 16, 2014

RAKYAT SABAH HARGAI KERAJAAN PUSAT REALISASIKAN UTC SABAH



Rakyat Sabah memandang tinggi ilham, inisiatif dan iltizam Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan kewujudan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Sabah, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

"Inilah hasil dan nikmatnya kalau kita bekerjasama, bersepakat dan bergerak sebagai satu pasukan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan agenda pembangunan untuk kesejahteraan dan kemudahan kepada rakyat," katanya ketika berucap pada majlis perasmian UTC Sabah di sini Sabtu malam.

Perasmian UTC Sabah yang mula beroperasi pada 16 Dis 2013 itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu malam. Sehingga 31 Okt lalu, seramai 771,375 orang sudah berkunjung ke UTC berkenaan.

Menurut Musa rakyat Sabah juga amat bertuah kerana Najib, yang mengilhamkan UTC berkenaan, sendiri turun padang merasmikannya dan sambutan hebat rakyat terhadap kedatangan perdana menteri adalah terjemahan sokongan, harapan dan aspirasi rakyat terhadap kepimpinan pemimpin nombor satu negara itu.

"Rakyat juga memberitahu saya bahawa kewujudan UTC ini banyak membantu memudahkan urusan harian dan keperluan mereka mendapatkan perkhidmatan daripada agensi kerajaan, sektor swasta dan NGO, dalam satu bangunan, dalam satu pusat sehenti, yang terletak di satu kawasan yang strategik di pusat bandar raya Kota Kinabalu," kata Musa.

Katanya dalam konteks Sabah yang luas serta mempunyai taburan penduduk di seluruh negeri, UTC itu bukan sahaja memudahkan tetapi juga menjimatkan kos dari segi kewangan dan masa untuk rakyat mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan.

Menurut Musa UTC berkenaan adalah manifestasi keprihatinan Najib yang sentiasa mendengar dan merasai denyut nadi rakyat termasuklah kepada rakyat Malaysia di Sabah.

Mengenai Bajet Persekutuan 2015 yang memperuntukkan RM4.7 bilion kepada Sabah bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di negeri itu, beliau yakin projek serta program tersebut mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.






0 comments:

share2