Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 24, 2014

TEMERLOH: LELAKI MAUT, EMPAT PARAH SETELAH DISERANG PEDANG SAMURAI


Lokasi kejadian mangsa dipercayai dibunuh kejam.


Kuantan - Seorang lelaki maut dipercayai dibunuh manakala empat lagi rakannya parah selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan pedang samurai di Taman Bukit Bendera, Mentakab, Temerloh awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi itu dipercayai akibat dendam lama dan mangsa, Arasu Fachianappan, 44, dari Taman Bukit Bendera, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan mangsa bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai empat anak yang berusia antara 8 hingga 15 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, mangsa diserang ketika sedang minum bersama beberapa rakan di sebuah kedai makan.

Menurutnya, mangsa dikatakan didatangi lebih 30 lelaki berusia antara 20 hingga 40-an dipercayai tidak berpuas hati dan kemudiannya berlaku pertengkaran antara mereka.

“Kumpulan itu bergaduh dan mangsa serta empat rakannya diserang menggunakan senjata tajam mengakibatkan kecederaan di kepala dan beberapa anggota badan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kesemua suspek melarikan diri selepas mangsa tidak sedarkan diri dan orang ramai yang berada di lokasi itu menghubungi polis.

Beliau berkata, polis tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit kemudian dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan rebah dan berlumuran darah.

“Selepas pemeriksaan mendapati mangsa mati di tempat kejadian manakala empat rakannya parah. Kesemua mereka dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk tindakan lanjut dan rawatan susulan.

Mohd Zakaria berkata, polis kini sedang berusaha mengesan kesemua suspek yang terlibat dalam pergaduhan itu selepas berjaya mengenal pasti identiti mereka dan percaya masih berada di daerah itu.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan pergaduhan berlaku membabitkan kongsi gelap di kawasan berkenaan.

“Apa pun siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti motif kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

0 comments:

share2