Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 28, 2014

SOKONGAN PENAMBAHBAIKAN AKTA HASUTAN




Saya mengucapkan tahniah kepada DS Najib atas pengumuman mengekalkan Akta Hasutan dengan beberapa penambahbaikan terutama berkaitan melindungi agama Islam didalam PAU pagi tadi.

Ini membuktikan bahawa DS Najib telah mendengar suara hati rakyat bawahan terutama NGO dan orang Melayu.

Langkah ini juga akan memelihara tiang seri negara, dan menjamin kesinambungan keharmonian dan keamanan yang dikecapi selama ini.

Bagi maksud penambahbaikan, selain daripada pengembalian semula ISA atau penggubalan undang-undang preventif seumpamanya, saya mencadangkan penambah-baikan kepada Akta Hasutan dengan perkara berikut:

1. meminda Seksyen 3 (1) (f) Akta Hasutan dengan memasukkan peruntukkan tambahan seperti berikut iaitu:

“Seksyen 3 (1) (f) memperuntukkan bahawa ‘kecenderungan menghasut (seditious tendency) itu adalah apabila ada mana-mana pihak cuba mempersoalkan apa-apa perkara, hak, status, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif mana-mana perkara berikut iaitu (dengan mengekalkan peruntukkan sedia ada) termasuk:

Perkara 3 (Islam agama Persekutuan), Perkara 8 (4) (c) (kedudukan orang asli), Perkara 8 (4) (f) (kedudukan Rejimen Askar Melayu DiRaja), Perkara 11 (4) (penyebaran agama bukan Islam), Perkara 12 (peruntukkan dana bagi institusi Islam), Perkara 121 (1A) (bidangkuasa Mahkamah Syariah), Jadual 9 Senarai II (bidangkuasa Dewan Undangan Negeri dan Mahkamah Syariah dalam hal ehwal Islam) , dan mana-mana undang-undang atau enakmen yang diperbuat dibawahnya”;

2. meminda Seksyen 114 (g) Akta Keterangan dengan peruntukkan ‘Mahkamah hendaklah membuat andaian/rumusan bahawa adalah merupakan satu perbuatan menghasut menurut peruntukkan dibawah Akta Hasutan jika ada mana-mana pihak yang cuba mempersoal, mempertikai dan/atau menghina apa-apa perkara, hak, status, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif berkaitan Bahagian 3, Perkara 152, Perkara 153, Perkara 181, Perkara 3, Perkara 8 (4) (c), Perkara 8 (4) (f), Perkara 11 (4), Perkara 12, Perkara 121 (1A) dan/atau Jadual 9 Senarai II Perlembagaan Persekutuan dan mana-mana undang-undang atau enakmen yang diperbuat dibawahnya”;

3. meminda hukuman bagi sabitan kesalahan dibawah Seksyen 3 (1) (f) Akta Hasutan dengan ‘hukuman penjara mandatori tidak kurang 5 tahun dan tidak melebihi 25 tahun’ bagi sabitan kesalahan dibawah Seksyen 3 (1) (f) Akta Hasutan.

Sekian terima kasih.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
04 Safar 1436
27 Nov 2014



0 comments:

share2