Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 20, 2014

MUSIM TENGKUJUH: BEKALAN SAYURAN DIJAMIN CUKUP




Kuala Lumpur - Bekalan sayuran negara dijamin mencukupi biarpun negara kini menghadapi musim tengkujuh.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Arif Abdul Rahman berkata jaminan itu berdasarkan hasil pemantauan agensi di bawah kementeriannya setiap minggu.

"Berdasarkan trend yang dilihat seminggu dua ini, bekalan mencukupi dan tiada kenaikan harga sayuran yang dilaporkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Majlis Tilawah Lembaga Pertubuhan Peladang Peringkat Kebangsaan Kali Kedua dan penyampaikan hadiah kepada pemenang, di sini, hari ini.

Mohd Arif mewakili Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata hasil laporan pemantauan bekalan telah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa bersama kementeriannya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Isnin lalu.

Mohd Arif berkata hasil mesyuarat itu memutuskan untuk mengambil tindakan proaktif dengan menambah kuota import sayuran negara jika berlaku kekurangan bekalan dan peningkatan harga sayuran.

Beliau berkata kerajaan menyediakan bantuan RM50 juta untuk petani melalui tabung bencana kementerian itu sekiranya tanaman mereka terjejas akibat banjir.

Terdahulu Mohd Arif ketika membacakan ucapan Ismail berkata petani perlu berubah daripada kaedah tanaman tradisional kepada penggunaan teknologi baharu bagi meningkatkan hasil pertanian negara.

"Para peladang pada hari ini tidak boleh lagi terlalu jumud dengan aktiviti pertanian secara tradisional.

"Peladang perlulah bersedia menerima dan mengaplikasikan teknologi baharu dalam bidang pertanian supaya hasil pertanian negara dapat ditingkatkan selaras dengan dasar agro makanan negara," katanya.

Mengenai majlis tilawah itu, beliau berkata sebanyak 22 peserta dari seluruh negara terpilih menyertai pertandingan peringkat kebangsaan itu.

Juara bagi kategori qari dimenangi peserta dari Kedah iaitu Mohammad Nazif Zulkhairi manakala bagi qariah pula dimenangi Che Minah Awang, dari Kelantan.

Kedua-dua johan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, pakej umrah dan hadiah iringan.

0 comments:

share2