Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 29, 2014

KUANTAN : SERAP HABA PANAS DI TAMAN BANDAR



Bagi mengurangkan suhu di Taman Tasik Bandar Indera Mahkota, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan melancarkan satu inovasi baharunya di sini dengan meletakkan alat penurun suhu di kawasan tersebut.

Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, dengan meletakkan alat itu juga merupakan salah satu daripada eksperimen MPK untuk diperluaskan kepada PBT lain sekiranya menerima sambutan positif semua pihak.

Menurutnya, suhu yang biasanya pada kadar 33 darjah Celsius dapat diturunkan kepada 23 darjah Celsius yang lebih santai dan mendamaikan pengunjung yang hadir.

“Kita sedia maklum, taman bandar bukan sahaja menjadi kawasan rekreasi penduduk, tetapi juga merupakan kawasan joging.

“Sekiranya suhu dapat diturunkan saya yakin lebih ramai yang akan beriadah di sini di samping meningkatkan kesihatan serta stamina senaman masing-masing,” katanya.

Alat yang dikenali sebagai Water Cooling System itu akan diletakkan di pokok-pokok yang berada di kawasan taman bandar yang menjalankan fungsi menyerap haba panas menjadi lebih sejuk.

Zulkifli berkata, Minggu Inovasi MPK pada tahun ini merupakan yang terbaik apabila pelbagai alat yang dicipta kakitangan MPK memberi manfaat kepada pengurusan yang lebih sistematik.

“MPK kini sedang dalam usaha pemindahan teknologi bersama Zul Autotronik mencipta alat inovasi baharu untuk kegunaan dalam bidang kerja MPK.

“Seramai 15 kakitangan MPK sedang menjalani latihan agar penciptaan alat ini boleh dipasarkan dan dipatenkan agar inovasi ini dinikmati oleh semua pihak,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPK di Rumah Tamu Taman Gelora di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, pelancaran projek itu akan dilaksanakan bermula tahun hadapan dan berharap agar keadaan cuaca panas pada mungkin kemarau nanti dapat dikurangkan untuk keselesaan pengunjung Taman Tasik Bandar Indera Mahkota.




0 comments:

share2