Kuantan – Satu kegiatan haram mencuri khazanah laut dan aktiviti penyelaman haram dipercayai dilakukan nelayan asing di perairan sekitar 60 nautika batu dari Tanjung Gelang dipatahkan oleh KD Perkasa, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Panglima Wilayah Timur Laut 1, Laksamana Muda Datuk Azhari Abdul Rashid berkata, seramai 17 kru warga Vietnam ditangkap termasuk yang berada di atas bot dan sebahagian daripada mereka sedang membuat penyelaman di dasar laut.
Menurutnya, hasil pemeriksaan kapal didapati kesemua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri secara sah kecuali tekong bot.
“Kegiatan haram itu berjaya dipatahkan oleh KD Perkasa yang dalam pelayaran pulang setelah tamat latihan Malindo Jaya dan mereka telah menahan sebuah bot nelayan diubahsuai menjadi bot untuk tujuan penyelaman di kawasan dilaporkan.
“Ketika serbuan sebahagian kru sedang menyelam ke dasar laut dipercayai mengambil hasil tinggalan disyaki kapal perang yang telah tenggelam semasa Perang Dunia Kedua.
“Mengikut sumber, kawasan tersebut adalah lokasi dua buah kapal perang British iaitu HMS Repulse dan HMS Prince Of Wales yang tenggelam semasa Perang Dunia Kedua iaitu 10 Disember 1941.
“KD Perkasa telah membawa bot berkenaan bersama 17 kru dan peralatan dirampas ke pangkalan TLDM Tanjung Gelang untuk diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Wilayah Timur dan untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan bertulis kepada media, semalam.
Beliau berkata, tangkapan berkenaan adalah hasil maklum balas daripada Persatuan Nelayan Negeri Pahang menerusi program interaksi bersama markas Wilayah Laut 1.
“Program mendekati rakyat khasnya komuniti maritim yang dilaksanakan oleh TLDM telah memberi impak tinggi dan membantu pelaksanaan operasi di laut.
“Komuniti maritim khususnya nelayan, pengusaha pusat peranginan dan penduduk di pulau-pulau boleh menjadi mata serta telinga pasukan keselamatan khasnya TLDM.
“Sebarang laporan mengenai kegiatan atau aktiviti mencurigakan serta dipercayai boleh menjejas keselamatan dan ekonomi negara amat kami hargai,” katanya.
0 comments:
Post a Comment