Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 11, 2014

ENDAU : DIKURUNG LELAKI TIDAK SIUMAN

Mat Roni Salleh

Seorang tukang urut melalui detik cemas selama lebih empat jam apabila dikurung di kediamannya sendiri di Kampung Teriang Besar, di sini, malam kelmarin oleh seorang lelaki kurang siuman yang menumpang di rumahnya.

Mangsa, Mat Roni Salleh, 49, berkata, lelaki kurang siuman yang berusia 47 tahun itu menumpang di rumahnya sejak beberapa hari lalu untuk mendapatkan rawatan sakit jiwa.

“Pada mulanya dia kelihatan seperti biasa, namun selepas waktu Maghrib malam kelmarin dia secara tiba-tiba mengunci pintu rumah dan tidak membenarkan saya keluar selain mengugut mencederakan saya jika cuba melarikan diri.

“Disebabkan bimbang dia akan bertindak agresif, saya bertindak mendiamkan diri di dalam rumah sebelum beberapa penduduk kampung bersama anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) datang memujuk lelaki terbabit, namun tidak berhasil,” katanya.

Roni berkata, selama lebih tiga jam dia tidak dapat berganjak dari katil kerana lelaki yang menumpang di rumahnya tanpa diundang itu mengugut untuk mencederakannya jika cuba keluar dari rumah.

“Dia mengugut untuk mencederakan saya jika saya keluar dari rumah, ia menyebabkan saya berada dalam keadaan ketakutan sebelum situasi itu berakhir kira-kira jam 1 pagi semalam dengan bantuan pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SRS Kampung Teriang Besar, Ahmad Asri Othman, berkata, beliau yang menerima maklumat mengenai kejadian itu bersama beberapa penduduk kampung dan anggota SRS lain bertindak memujuk lelaki terbabit selama lebih dua jam, namun tidak berhasil.

“Kami sudah cuba memujuk lelaki tersebut, namun tidak berjaya dan lalu kami mengambil keputusan untuk melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa.

"Apabila pihak berkuasa tiba, lelaki itu akhirnya memberikan kerjasama yang baik tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Zulkepli Hashim yang dihubungi mengesahkan laporan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa sebaik menerima maklumat daripada orang awam, pihaknya menghantar sepasukan anggota untuk mengawal keadaan dan hasilnya lelaki terbabit berjaya ditahan.

“Lelaki itu dirujuk kepada pegawai perubatan untuk pemeriksaan dan dia dibebaskan hari ini (semalam) atas nasihat pegawai perubatan yang memeriksanya serta perlu menjalani rawatan susulan bersama pakar sakit mental pada 1 Februari 2015,” katanya.

0 comments:

share2