Cameron Highlands - Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap laporan akhbar kononnya tanah tinggi Cameron Highlands ditawan 30,000 pendatang tanpa izin warga Bangladesh.
Laporan itu, titah baginda, tidak benar sama sekali.
"Ini semua tidak betul, tidak sampai 30,000, itu cuma khabar palsu. Kita tidak boleh bercakap tanpa ada informasi yang benar. Jangan cuba untuk menakutkan rakyat saya terutama sekali di Cameron Highlands.
"Laporan tanah runtuh dan kemudian datang pula muka depan (sebuah akhbar) Cameron Highlands akan ditawan warga Bangladesh, saya sendiri pun takut," titah baginda pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands di Tanah Rata.
Justeru, Sultan Pahang meminta pihak media supaya mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum membuat laporan dan berharap perkara sedemikian tidak berulang.
Titah baginda, kerajaan negeri akan bekerja keras untuk mengatasi masalah kemasukan pendatang tanpa izin bukan sahaja di Cameron Highlands, malah juga di daerah lain.
"Dia (pendatang) tak boleh menceroboh lagi negeri Pahang tanpa izin. Kami akan laksanakan peranan kami, saya raja pemerintah, (manakala) menteri besar, dan yang berkhidmat di negeri Pahang terutama sekali pegawai-pegawai daerah, ketua-ketua jabatan yang bekerja di Pahang, mereka setia kepada kerajaan," titah baginda.
0 comments:
Post a Comment