Bentong - Seorang pekerja kontrak maut diseret lori di Kilometer 42.4 Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak sekitar jam 12 tengah hari kelmarin.
Mangsa, Hasan, merupakan warga Indonesia maut diseret lori jenis Isuzu satu tan yang dilanggar sebuah lagi lori jenis Isuzu muatan tiga tan sejauh kira-kira 30 meter.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Mansor Mohamad Nor berkata, pemandu lori Isuzu tiga tan dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan.
“Hasil siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan jalan turun bukut dua lorong di mana permukaan jalan adalah kering dan cuaca ketika itu juga cerah.
“Kemalangan berlaku ketika lori Isuzu tiga tan sedang turun bukit di tempat kejadian dan dipercayai hilang kawalan akibat brek tidak dapat berfungsi,” katanya.
Tambahnya, lori Isuzu tiga tan terbabit kemudiannya melanggar lori Isuzu satu tan di lorong laju lalu terbabas masuk ke gigi jalan sebelah kanan.
“Sebaik terbabas, lori Isuzu satu tan terbabit kemudiannya terus melanggar mangsa yang sedang melakukan kerja penambahbaikan pembahagi jalan di lokasi kejadian.
“Mangsa diseret sejauh kira-kira 30 meter dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Katanya, turut bersama mangsa ialah empat lagi pekerja kontrak di mana seorang pekerja patah kaki kanan, dua cedera ringan dan seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa cedera di bawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut manakala kedua-dua pemandu lori ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
0 comments:
Post a Comment