Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 29, 2014

AKTA HASUTAN: AMARAN KEPADA PENGHASUT NEGARA


Grafik Sinar Online


Kuala Lumpur - Keputusan kerajaan untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 merupakan satu "signal" atau amaran kepada pihak yang gemar menimbulkan ketegangan kaum dan agama di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menegaskan perbuatan menghasut untuk menjejaskan keamanan tidak boleh diterima dalam budaya masyarakat di negara ini.

"Keputusan mengekalkan Akta Hasutan merupakan signal kepada mereka yang suka mengeluarkan kenyataan dan melakukan tindakan-tindakan yang boleh menjurus keadaan yang tidak aman di negara ini.

"Jelas sekali bahawa perbuatan itu tiada tempat dan tiada toleransi di negara kita," katanya kepada Sinar Harian Online, pada Persidangan Agung Umno 2014 di PWTC, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan kerajaan yang mahu mengekalkan Akta Hasutan 1948 yang diumumkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar beliau pada Perhimpunan Agung Umno 2014.

Akta Hasutan bukan sahaja dikekalkan malah beberapa penambahbaikan akan dilakukan termasuk memasukkan dua perkara baharu.

Antaranya ialah melindungi kesucian Islam dan larangan menghina agama lain serta mengenakan tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Persekutuan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berharap penambahbaikan akta itu dapat dilakukan dengan segera dan memperluaskan penguatkuasaan bagi memantau kandungan media sosial.

"Fokus kita kepada Akta Hasutan perlu kita perjelaskan, ia telah digubal pada 1948, penambahbaikan itu mungkin kita boleh lihat dari segi memasukkan fasal-fasal tertentu yang menjurus kepada aktiviti yang berlaku di alam maya (media sosial).

"Sudah tiba masanya segala fitnah, segala kenyataan, segala perbuatan yang dilakukan oleh pihak tertentu yang dipaparkan dalam media alternatif, kita perlu ambil tindakan," katanya.

Beliau berkata lagi, pelaksanaan penambahbaikan itu perlu dilakukan secara konsisten bagi memastikan undang-undang itu terus dihormati dan dipatuhi.

"Penghinaan terhadap agama Islam, oleh beberapa individu seperti Alvin, sekiranya tiada tindakan berterusan, rakyat akan kehilangan keyakinan kepada kerajaan, keyakinan kepada pelaksanaan undang-undang itu.

"Dengan adanya pelakasaan, sesuatu undang-undang itu akan dilihat sebagai undang-undang digubal atas dasar bahawa ia perlu dihormati dan pastikan pelaksanaan berlaku dengan adil," katanya lagi.

0 comments:

share2