Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 4, 2014

ROMPIN : KENAIKAN HARGA AYAM BERGANTUNG KEPADA PEMBEKAL

Rosman (kanan) tidak menolak kenaikan harga ayam akan berlaku dan kenaikan tersebut bergantung kepada harga yang dikenakan oleh pembekal.


ROMPIN – Kenaikan harga barang masih tidak dapat diramal dan sukar untuk dijangka berikutan pengurangan subsidi harga minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen berkuatkuasa tengah malam semalam menjadikan harga kedua minyak berkenaan masing-masing RM2.30 serta RM2.20 seliter.

Seorang peniaga ayam di Pasar Besar Kuala Rompin, Rosman Izru, 42, berkata, secara kebiasaannya jika harga minyak naik maka harga ayam juga akan meningkat sekitar 10 hingga 20 sen sekilogram.

“Umum tahu akan kaitan hal ini iaitu apabila harga minyak naik, harga bahan mentah lain termasuk ayam turut akan meningkat dan fenomena ini berlaku sama seperti ketika kenaikan harga minyak yang berlaku sebelum ini.

“Buat masa sekarang masih terlalu awal untuk diramal jumlah kenaikannya kerana ia baru berlaku tengah malam tadi (semalam), mungkin dalam tempoh dua atau tiga hari lagi kenaikan akan berlaku dan itu juga bergantung kepada harga yang dikenakan pembekal,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, bekalan ayam dihantar oleh pembekal dari Johor menggunakan lori dan jika harga minyak naik tentu ia memberi kesan kepada pembekal.

“Jika kos operasi mereka (pembekal) naik, maka harga ayam yang dibekalkan juga akan naik namun buat masa sekarang masih terkawal tetapi esok atau lusa masih tidak pasti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengeluh mengenai kenaikan harga minyak tersebut yang menyifatkan tindakan kerajaan itu tidak patut di kala rakyat masih bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

“Kenaikan harga minyak ini pada saya tidak patut dan seolah-olah tiada sebab untuk menaikkan harganya di kala kos sara hidup yang semakin menekan rakyat. Walaupun saya peniaga tetapi saya juga pengguna dan pasti saya antara golongan yang terkesan,” katanya.

Sementara itu, seorang pesawah, Ismail Abdullah, 65, berkata, kerajaan perlu mengkaji semula kenaikan harga minyak selaras dengan slogan kerajaan yang mahu mendahulukan rakyat.

“Pakcik sebagai petani yang pendapatan tidak menentu tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak kerana sudah pasti golongan petani sangat terkesan dengan kenaikan harga minyak ini.

“Harap kerajaan dapat mengkaji semula keputusan menaikkan harga minyak ini demi kepentingan rakyat,” katanya.





0 comments:

share2