Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 23, 2014

PM PUJI TAIB MAHMUD BERJAYA TRANSFORMASI SARAWAK


Mantan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud ketika temuramah khas bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di kediaman beliau di Demak Jaya di Kuching baru-baru ini. - Bernama


Kuching - Sarawak telah berkembang pesat dan mengalami transformasi daripada antara negeri paling miskin untuk muncul sebagai negeri paling makmur di negara ini di bawah kepimpinan Tun Abdul Taib Mahmud.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau percaya bahawa Sarawak moden hari ini adalah hasil sumbangan besar Taib, bukan sahaja dalam usaha untuk mencapai matlamat kemajuan ekonomi.

“Tetapi juga memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat negeri ini sepanjang tempoh beliau menyandang jawatan sebagai Ketua Menteri,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Sarawak semalam.

Najib berkata demikian dalam perutusannya dalam buku bergambar bertajuk 'Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib-The Visionary Builder of Modern Sarawak', yang dilancarkan bulan lepas.

Perdana Menteri berkata Taib, yang kini Yang Dipertua Negeri Sarawak, memainkan peranan penting dalam menyatukan Sarawak yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama terutama disebabkan keyakinan beliau bahawa satu-satunya cara untuk negeri itu mencapai kemajuan adalah melalui kerjasama dalam kalangan kumpulan pelbagai etnik.

Najib juga berkata, bahawa semua pihak dapat melihat bagaimana konsep 1Malaysia diamalkan di Sarawak dan bagaimana negara secara keseluruhan boleh
mencontohi kejayaan konsep itu di negeri ini.

Beliau berkata, sebagai Ketua Menteri, Taib dapat meningkatkan secara mendadak taraf hidup dan kualiti kehidupan rakyat dengan menyediakan pelbagai peluang dalam pendidikan, menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan mewujudkan suasana yang teguh bagi perniagaan berkembang maju.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan kemajuan pesat yang dicapai Sarawak sejak 33 tahun lalu, gelaran 'Bapa Berwawasan Sarawak Moden' adalah sesuai untuk bekas ketua menteri itu.

Taib menjadi Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun sebelum menyerahkan kepimpinan negeri kepada Tan Sri Adenan Satem pada Februari lepas.

Menurut kenyataan itu, buku setebal 408 muka surat itu yang dilancarkan sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-78 Taib di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) di Kuching bulan lepas, memuatkan kronologi pendidikan beliau semasa zaman kanak-kanak hinggalah beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri.

Buku itu mengandungi 630 keping gambar dan berfungsi sebagai memberi penghargaan kepada Taib atas semua sumbangannya dalam membangunkan Sarawak moden.

Buku itu yang disusun dan disunting oleh sekumpulan penulis terdiri daripada pendidik, editor dan wartawan, juga memuatkan impak masa depan hasil daripada sumbangannya dalam konteks meletakkan asas untuk memastikan kemajuan dan kemakmuran Sarawak berterusan.

0 comments:

share2