
Komuniti perniagaan menyambut baik pengurangan cukai langsung dalam Bajet 2015 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI).
Pengarah Eksekutifnya Steward J. Forbes berkata kerajaan telah melakukan perkara yang tepat dengan tidak mencadangkan apa-apa pada 2015 tetapi mengurangkan satu peratus cukai korporat pada 2016.
"Najib telah mengumumkan bahawa apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula, kerajaan akan meneliti cukai korporat.
"Kami tidak menjangkakan pengurangan cukai korporat pada tahun pertama," katanya selepas perbincangan meja bulat pasca bajet anjuran Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI) di Kuala Lumpur hari ini.
Harapan MICCI ialah apabila GST membawa hasil kepada negara, (selepas 2016), kerajaan akan dapat memberikan tambahan pengurangan dalam cukai korporat dengan syarat ia seimbang dengan cukai tidak langsung.
Bagi meningkatkan tadbir urus fiskal, Bajet 2015 mencadangkan bahawa bagi tahun taksiran 2016, cukai pendapatan korporat akan dikurangkan sebanyak satu peratus kepada 24 peratus, katanya.
"Dengan menurunkan cukai korporat, kami boleh membawa lebih banyak perniagaan ke Malaysia," katanya.

0 comments:
Post a Comment