Johor Bahru - Seorang pekerja hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas 22 tuduhan menipu beberapa individu membabitkan wang RM16,350 antara Ogos 2012 dan bulan lalu.
Mohamad Shazwan Suhaimi, 31, yang berasal dari Ampang, Selangor membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Salina Omar selepas semua pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh didakwa memperdaya 17 individu terbabit secara berasingan dengan menyerahkan wang tunai antara RM200 dan RM1,600 setiap seorang kepadanya di beberapa premis di sekitar bandar raya ini 1 Ogos 2012 dan 26 September lalu.
Kesemua wang yang diserahkan kepadanya itu bagi pelbagai tujuan termasuk kononnya mengutip sumbangan, mendapatkan pekerjaan serta pembelian motosikal lelong daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mohamad Shazwan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun berserta sebatan dan boleh juga dikenakan denda sekiranya sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar memohon wang jaminan dikenakan sebanyak RM71,000 bagi kesemua tuduhan berkenaan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM17,500 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan itu selepas mendengar rayuan tertuduh yang diwakili peguam Datin Freda Sabapathy selain menetapkan 17 November ini untuk sebutan semula kes.
0 comments:
Post a Comment