Kuala Lumpur – Datuk Seri Idris Jusuh mengajak orang Melayu di negara ini supaya melalui renaissance sekiranya ingin terus relevan dalam menghadapi cabaran masa hadapan baik pada peringkat lokal mahu pun global.
Beliau menegaskan: “Kita tidak ada pilihan lagi kecuali keluar dari kerangka lama yang menjadi penghalang untuk kita bersaing dengan bangsa lain baik dalam negara juga di peringkat dunia.”
Menteri Pendidikan II itu menyampaikan amanat berjudul Renaissance Melayu pada majlis Pidato Umum Tun Hamdan Tahir 2, di Wisma Sejarah di sini, semalam.
Majlis tersebut anjuran Kementerian Pendidikan, Persatuan Sejarah Malaysia, Persatuan Murid Tua Sekolah Tun Abdul Rasak (Staroba) dan Arkib Negara Malaysia.
Idris yang juga bekas pelajar Star menggariskan beberapa perkara utama yang mesti diamalkan oleh orang Melayu untuk renaissance yang boleh membawa kejayaan kita pada peringkat dunia.
Pertama, mesti menguasai ilmu dan pendidikan sebab inilah ciri utama dalam pembentukan mana-mana bangsa.
“Kita tidak ada alasan untuk tidak berilmu sebab kerajaan telah memperuntukkan berbilion ringgit untuk menyediakan peluang pendidikan kepada semua,” kata beliau.
Kedua, mesti berani mengemukakan sesuatu produk dan idea menerusi inovasi, kreatif seperti yang telah ditunjukkan oleh pencipta Microsoft, Facebook dan lain-lain penemuan besar dunia.
Ketiga, mesti tekun dan konsisten dalam apa juga yang dilakukan tanpa mengenal erti putus asa.
“Berapa banyak pun bantuan dan galakan dari kerajaan, kalau belum cuba sudah mengaku susah dan tidak boleh, sampai bila pun orang kita akan terus di takok lama, " katanya.
Keempat, mesti menuju kecemerlangan. Walaupun mulakan sesuatu secara kecil-kecilan, ia boleh menjadi besar dan mengusai pasaran global sekiranya ada kegigihan berterusan, dan selalu bersyukur atas kejayaan.
Idris mengingatkan orang Melayu, khasnya generasi muda, supaya berusaha keras untuk menebus kembali apa yang telah di lepaskan kepada orang lain, termasuk di bidang pendidikan dan ekonomi.
“Tanah kita pun banyak yang telah terlepas kepada orang lain kerana kita cuai dan leka. Kita mesti menebus kembali tanah dan hak kita yang sudah diambil orang lain. Inilah natijah renaissance Melayu,” tegas beliau.
0 comments:
Post a Comment