Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 24, 2014

KUANTAN: POLIS BURU HAFIZ BATU HITAM


Abdul Aziz menunjukkan gambar suspek iaitu Hafiz Batu Hitam yang diburu pihak polis.


Kuantan - Polis memburu seorang lelaki yang dipercayai menjadi dalang dalam kejadian samun di sebuah kedai runcit di Taman Datuk Rashid Salleh dekat Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman kira-kira jam 6.40 petang kelmarin.

Suspek, Muhammad Hafiz Hasbullah, 25, yang dikenali sebagai ‘Hafiz Batu Hitam’ beralamat di Kampung Batu Hitam dikehendaki bersama seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Amir.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pihak polis mendapat maklumat hasil siasatan daripada tiga suspek yang terlibat dalam kejadian samun tersebut.

Menurutnya, polis berjaya menangkap tiga suspek selepas mangsa iaitu pemilik kedai runcit berjaya mengecam nombor pendaftaran salah sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian itu.

“Dalam kejadian yang melibatkan empat lelaki berusia antara 18 hingga 32 tahun itu, suspek sempat melarikan wang tunai berjumlah RM2,500 dari kaunter kedai runcit terbabit dengan bersenjatakan sebilah pisau.

“Mangsa bertindak mengejar suspek dan berjaya mengecam motosikal jenis Honda EX5 berserta nombor pendaftaran,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, hasil maklumat pihak polis berjaya mengesan seorang suspek di sebuah rumah di Beserah kira-kira jam 10.30 malam pada hari sama.

Beliau berkata, hasil soal siasat membawa kepada tangkapan dua lagi suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

“Selain menahan suspek, pihak polis turut menyita kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu.

“Bagaimana pun, dalang kes berkenaan masih bebas dan kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Hafiz Batu Hitam supaya tampil memberikan maklumat,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek yang ditahan didapati positif dadah, manakala Hafiz yang diburu didapati pernah ditangkap kerana terlibat dalam beberapa kes jenayah.

0 comments:

share2