BERMULA dengan ketidakpuasan hati cucu kepada Allahyarham Puan Sri Saloma, Arzanee Armalie, giliran waris Allahyarham AR Tompel yang diwakili Adlin Aman Ramli pula membantah tayangan biopik Saloma di Astro yang dikatakan prejudis sehingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pewaris bintang lagenda itu.
Kini, kakak kepada Melissa Saila yang juga anak Seniwati Mariani Ismail, Rozita Rohaizad turut mengakui perkara yang sama.
Menurut penyanyi era 90-an ini, dia berpendapat kisah negatif mengenai AR Tompel itu tidak wajar dipertontonkan dalam biopik berkenaan.
"Sebenarnya, saya tengok filem itu sekali sahaja. Jadi, tak ingat sangat babak dia. Namun, sebagai orang Islam, kita kena pegang pada ajaran agama, tak boleh papar aib orang lain.
"Tambahan pula, AR Tompel sudah lama tiada dan babak yang menunjukkan dia seorang 'playboy', tak bayar sewa dan suami tidak bertanggungjawab itu tidak wajar dipertontonkan.
"Selain itu, arwah mama (Saloma) juga dilihat seperti ibu yang tak sayangkan anak sendiri. Malah, ada yang kata, menerusi filem itu, arwah mama nampak jahat dan simpan dendam dengan Norizan yang 'curi' Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Anak mama pula macam penagih dadah," katanya.
Tambah Rozita, ketika proses pembikinan filem itu, adiknya hanya membuat perbincangan dengan ibu dan kakaknya sahaja tanpa melibatkan keluarga lain.
"Saya ingat dia (Melissa) hanya buat tribute macam dokumentari dengan cerita yang baik-baik sahaja. Selain itu, ibu saudara saya, Mimi Loma, juga kurang senang menonton filem itu," katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment