Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 2, 2014

JIKA PAS PECAT ATAU GANTUNG 2 ADUNNYA ......

Dua Adun Pas berdepan Lembaga Disiplin esok




DUA Adun Pas Selangor, Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin dilaporkan akan dipanggil mengadap Lembaga Disiplin parti esok (hari ini) ekoran tindakan mereka yang didakwa mendahului parti dengan memberikan sokongan kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor.

Sehingga ini apa yang bermain di fikiran orang ramai ialah apakah hukuman yang bakal diterima oleh kedua-dua Adun itu terima. Adakah mereka akan dipecat, digantung, diberi amaran atau dilepaskan begitu saja?

Sementara Presiden Pas, Haji Hadi kelihatan amat berang dengan tindakan Saari dan Hasnul ini dengan melabelkan di pentas terbuka penggulungan Muktamar Pas di Batu Pahat dengan cop pengkhianat, barua, broker dan sudah dibeli, sebaliknya DAP pula meraikan kedua-dua Adun itu semalam (kelmarin) dalam sebuah majlis jamuan dan menganggap mereka adalah "wira" yang mempertahankan kerajaan PR Selangor.

Berdepan dengan apa yang berlaku kepada Iszurie Ibrahim, Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang juga Bendahari Pas negeri yang dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap dan dibekukan peruntukannya ekoran kritikan terbuka terhadap dasar perumahan kerajaan negeri dalam ucapannya di muktamar baru-baru ini, sanjungan DAP terhadap Saari dan Hasnul bagaikan sengaja merenjis minyak kepada api yang sedang membara dalam Pas ketika ini.

Saari dan Hasnul sebelum ini mempertahankan tindakan mereka adalah bertujuan menafikan dakwaan sokongan majoriti yang didakwa dimiliki oleh Khalid Ibrahim serta atas semangat untuk mempertahankan kerajaan negeri PR.

Kiranya esok (hari ini) Saari dan Hasnul akan dipecat oleh Pas, tanggapan umum tentunya tidak dapat lari daripada mengaitkannya dengan ucapan Haji Hadi di muktamar baru-baru ini. Akan wujud persepsi bahawa Lembaga Disiplin Pas hanyalah "rubber stamp" kepada Haji Hadi saja.

Malah mungkin juga wujud tanggapan bahawa hukuman pecat itu sebagai luahan rasa kekecewaan Pas bukan saja kerana gagal untuk terus mencatur penentuan politik di Selangor, bahkan juga kerana kehilangan satu kerusi Exco di negeri itu.

Tambahan pula, isu politik di Selangor secara umumnya sudah pun selesai apabila Azmin Ali diangkat sebagai Menteri Besar dan tidak seharusnya lagi Pas memanjangkan isu dengan suatu tindakan yang seolah-olah ada unsur balas dendam.

Lebih dari itu, tindakan pemecatan juga akan meretakkan lagi hubungan Pas dalam PR di sebalik parti itu berulang kali menyatakan mahu terus kekal dalam gabungan itu bersama PKR dan DAP. Ini kerana apa yang dilakukan oleh Saari dan Hasnul adalah atas semangat untuk mempertahankan kerajaan PR yang didokong oleh Pas juga.

Malangnya dalam krisis menteri besar ketika itu, bukan Saari dan Hasnul yang cuba lari dari semangat dan janji bersama PR, tetapi pihak lain dalam Pas. Lagi pula bukannya kedua-dua mereka ini menyokong calon daripada parti musuh, malah daripada parti yang diakui oleh Pas sendiri berhak terhadap kerusi Menteri Besar itu.

Sudah tentu, jika pemecatan juga yang dibuat esok (hari ini), ia bukan saja keterlaluan, tetapi akan menjadikan Pas semakin terpinggir di mata pengundi pelbagai kaum yang menyokong PR selama ini. Pas tidak akan dipercayai lagi selepas ini. Ia adalah sesuatu yang merbahaya kepada masa depan Pas, khususnya di Selangor dalam pilihan raya akan datang.

Tindakan gantung juga tidak sesuai diambil jika Pas benar-benar ingin bersama PR bergerak ke hadapan menentang Umno dan BN. Pas haruslah mengakui tindakan Saari dan Hasnul memberi sokongan kepada Dr Wan Azizah adalah kerana salah Pas sendiri yang lambat menyatakan pendirian dan menangguh-nangguhkan tarikh mesyuaratnya.

Jika Pas lebih agresif dan progresif dalam tindakannya, termasuk mempercepatkan tarikh mesyuarat berhubung isu menteri besar dahulu, semua ini tidak mungkin berlaku.

Berdepan dengan kemungkinan hilang sokongan pengundi bandar dan separa bandar serta mesej yang diterima Pas dalam keputusan pilihan raya kecil Pengkalan Kubor, hukuman yang wajar diterima oleh Saari dan Hasnul hanyalah diberikan amaran saja.

Lebih berjiwa besar jika Pas tidak menyabitkan dengan sebarang hukuman, lebih-lebih lagi dakwaan kononnya mereka dibeli atau bukti lain yang bersifat salahlaku juga tidak pernah dibuktikan sehingga kini.

Walaupun dilihat tidak seiringan dengan pendirian Haji Hadi tetapi adalah nyata bahawa Saari dan Hasnul melalui tindakan yang dilakukannya bertujuan ingin membawa Pas bergerak di landasan yang betul bersama-sama dengan PR.

Bukan salah mereka kerana bertindak cepat mendahului Pas dalam memberi sokongan kepada Dr Wan Azizah tetapi salah Pas kerana selalu lambat dan perlahan.



Berikut adalah pendapat dan komen pembaca;






0 comments:

share2