Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 24, 2014

JERANTUT : KOMPAUN RM18 RIBU

Che Hanafi (tiga, kiri) bersama ahli Gerakan Pengguna Daerah membuat pemeriksaan harga telur semasa operasi di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan menjelang Deepavali, di Pasar Raya Tunas Manja, di Bandar Inderapura, kelmarin.



JERANTUT - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) cawangan Jerantut mengeluarkan kompaun sebanyak RM18,000 membabitkan 66 kes kepada peniaga di daerah Jerantut dan Kuala Lipis yang melanggar peraturan sepanjang kempen Skim Kawalan Harga Musim Perayaan dikuatkuasakan sepanjang tahun ini.

Ketua Cawangan PPDNKK Jerantut, Che Hanafi Mamat berkata, kes berkenaan membabitkan kecuaian peniaga tidak menjual barang dengan harga yang ditetapkan, kesalahan timbang dan sukat, menjual barang melebihi harga siling dan tanpa meletakkan tanda harga berwarna merah jambu.

Menurutnya, kecuaian berkenaan sering berlaku dalam kalangan peniaga di pasar, kedai runcit, pekan sehari, pasar malam manakala pengusaha pasar raya juga cuai memaparkan tag harga bagi sekilogram/biji khususnya barang yang di bawah kawalan musim perayaan.

“Kita amat memandang serius perkara ini sambil bertegas terhadap sikap pemborong dan peniaga di dua daerah ini perlu bertanggungjawab dan beramanah dengan mematuhi senarai harga barang kawalan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memantau dan membuat pemeriksaan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan menjelang Deepavali, di Pasar Raya Tunas Manja, di Bandar Inderapura dekat sini, kelmarin. Hadir sama, Pengerusi Gerakan Pengguna Daerah Jerantut, Zulkefly Zaadun Zabir.

Che Hanafi berkata, operasi bersepadu dengan Jabatan Kesihatan, Jabatan Agama Islam membuat pemeriksaan serentak harga barang musim perayaan itu membabitkan 30 penguatkuasa PPDNKK dan ahli Gerakan Pengguna Daerah di Jerantut dan Lipis.

Menurutnya, sebanyak 14 jenis barangan yang dikawal harganya dan disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga perayaan Deepavali bermula 18 Oktober hingga 27 Oktober ini dibuat pemeriksaan sepanjang operasi itu.

“Penetapan harga maksimum borong dan runcit perlu dipatuhi pemborong dan peniaga untuk keselesaan pengguna berbelanja lebih lagi menjelang Deepavali.

“Peniaga juga diminta menjual barang tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh lebih rendah,” katanya.

Beliau juga meminta pengguna meneliti harga barang yang kadang-kadang didapati berbeza apabila ditimbang khususnya telah dikesan di pasar raya kedua-dua bandar ini dan Kuala Lipis.

“Kami memberi jaminan bekalan barang di kedua daerah ini mencukupi.

“Orang ramai boleh melaporkan kepada mana-mana cawangan penguat kuasa di daerah ini menerusi talian 09 2601374 atau laman sesawang e-aduan@kpdnkk.gov.my jika mendapati ada peniaga yang menaikkan harga barang serta kes membabitkan kecuaian untuk diambil tindakan berasaskan peraturan tertentu,” katanya.





0 comments:

share2