Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 21, 2014

GAJAH DITANGKAP DI KEMAMAN


Kemaman - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu hari ini memindahkan seekor gajah liar jantan berusia 20 tahun dari Kampung Darat Air Putih, Kemaman ke Taman Negara Terengganu di Tasik Kenyir.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Yusoff Shariff berkata, gajah liar itu ditangkap di sebuah kebun kelapa sawit milik penduduk kampung enam hari lepas.

"Hasil aduan penduduk sejak empat bulan lalu mengenai serangan gajah yang memusnahkan lebih 30 hektar kelapa sawit di kawasan mereka ini, maka kita mula mengatur operasi untuk menangkapnya.

“Ia melibatkan 20 anggota Perhilitan Terengganu dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Pahang berjaya menangkap gajah jantan itu dengan bantuan dua ekor gajah denak betina," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Operasi yang bermula pukul 9 pagi itu berjaya diselesaikan dalam tempoh dua jam.

Yusoff berkata, pihaknya mengesan tiga ekor gajah liar namun dua daripadanya berjaya melarikan diri ke dalam hutan apabila tembakan pelali dilepaskan.

"Dengan tangkapan ini, kami berharap penduduk dapat menjalankan aktiviti harian mereka di kebun kelapa sawit ini seperti biasa tanpa bimbang dengan gangguan gajah liar.

"Penduduk juga diharap dapat terus menyalurkan maklumat secepat mungkin jika mencurigai kehadiran binatang itu untuk membolehkan tindakan segera diambil," katanya.

0 comments:

share2