Ledang - Seorang ibu terkejut selepas mendakwa menemui bangkai seekor cicak dalam bungkusan makanan bijirin sarapan yang dibeli dari sebuah pasaraya di Melaka, beberapa hari lalu.
Hanya mahu dikenali Ana, 30an, dia menyedari kewujudan bangkai itu semasa memberikan makanan itu kepada anak sulungnya ketika dalam perjalanan ke rumah pengasuh kira-kira jam 7 pagi kelmarin.
Menurutnya, makanan yang dibeli dalam kotak yang bersaiz kecil itu dibuka dengan ruang yang kecil pada sebelah malam kerana diminta anak sulungnya berusia setahun setengah.
“Kemudian, saya simpan semula makanan ini dengan kemas dalam kotak asal tersebut.
“Pada keesokkan hari semasa dalam perjalanan hantar anak ke rumah pengasuh, saya sambung berinya makanan itu dalam kuantiti yang sedikit,” katanya di sini, semalam.
Ana berkata, apabila memasukkan jari ke dalam bungkusan itu untuk mengambil lagi makanan itu, dia terasa satu objek pelik dan apabila ditarik keluar mendapati ia bangkai seekor cicak.
Dia yang terkejut dan panik segera menghubungi suaminya memberitahu kejadian itu.
“Suami yang bekerja di Negeri Sembilan pulang ke rumah selepas waktu kerja untuk mengambil gambar bangkai haiwan itu sebagai bahan bukti sebelum membuat aduan kepada syarikat pengeluar makanan itu,” katanya.
Tambahnya, sehingga kini dia masih berasa geli dan menyesal memberikan makanan berkenaan kepada anaknya.
Katanya, setakat ini anaknya dalam keadaan baik tanpa sebarang alahan dan berharap syarikat berkenaan lebih berhati- hati serta peka tentang aspek kebersihan sesuatu produk keluaran mereka.
0 comments:
Post a Comment