Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 23, 2014

BALAK: PEMEGANG LESEN DIBERI AMARAN IKUT SYARAT


Kuching - Pemegang lesen pembalakan di Sarawak diberi amaran agar mematuhi syarat lesen masing-masing atau berdepan tindakan pihak berkuasa, termasuk menarik balik lesen membalak mereka.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, terdapat syarikat pemegang lesen membalak di negeri ini yang melanggar syarat dalam lesen masing-masing dan tindakan mereka sedang dipantau.

Katanya, pengeluaran lesen baharu kini dibeku sementara Jabatan Hutan Sarawak dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) sedang giat memantau sebarang kegiatan membalak secara haram di seluruh negeri.

Beliau menjelaskan kawasan pembalakan berlesen kini di bawah pemantauan SFC manakala pembalakan haram di luar kawasan berlesen terletak dalam bidang kuasa Jabatan Hutan Sarawak.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan pembalakan haram, termasuk mendakwa mereka di mahkamah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Bengkel Perancangan Strategik Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar di Borneo Highlands Resort dekat sini, semalam.

Di samping itu, Awang Tengah turut memberi amaran kepada pihak atau syarikat supaya tidak membuka ladang di atas tanah Hak Adat Bumiputera yang belum mendapat kelulusan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

Katanya, terdapat syarikat yang memulakan kerja pembersihan kawasan tanah untuk pembangunan ladang kelapa sawit walaupun belum mendapat sebarang pengesahan status tanah dan belum mendapat kelulusan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

Beliau berkata, tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap pihak atau syarikat yang berbuat demikian.

Sementara itu, beliau berkata tindakan telah diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan aktiviti pembalakan haram di dua Taman Negara di negeri ini iaitu Taman Negara Maludam di Miri dan Taman Negara Bukit Tiban di Bintulu.

0 comments:

share2