Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 25, 2014

APA MOTIF ANJUR MALAM HALLOWEEN


Muka depan akhbar Sinar Harian Edisi Melaka & NS hari ini


Seremban - Selepas penganjuran Oktoberfest dan kempen 'Saya Mahu Sentuh Anjing,' yang menimbulkan kontroversi, kini timbul pula isu sebuah sekolah antarabangsa di Bandar Sri Sendayan, di sini mahu menganjurkan sambutan malam halloween pada 31 Oktober ini.

Penganjuran itu menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak, khususnya penduduk kawasan sekitar yang majoritinya beragama Islam kerana beranggapan sekolah berkenaan cuba menyebarkan fahaman Barat kepada pelajar.

Lebih mengejutkan, tindakan pihak sekolah terbabit yang membuat promosi dengan memasang kain rentang sekitar bandar Seremban dan Senawang, mengajak orang luar untuk turut serta dalam program berkenaan.

Timbalan Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia, Mohd Azizee Hassan berkata, perayaan halloween itu tidak bersesuaian dengan budaya dan adat resam masyarakat di negara ini.

Menurutnya, program itu dikhuatiri akan mempengaruhi minda dan persepsi pelajar muslim sekolah berkenaan, bahawa budaya barat ini juga sesuai dilaksanakan di negara Islam.

“Saya tidak menyokong penganjuran program itu kerana ia mampu mencairkan identiti pelajar muslim di sekolah berkenaan.

“Walaupun pihak sekolah mengatakan bahawa tiada unsur agama dilakukan, namun acara tersebut tidak sepatutnya dimegahkan, seolah-olah kita mengiktiraf pesta itu.

“Saya bimbang, jika diteruskan acara ini, ia boleh merosakkan dan mengancam akidah pelajar Islam di sekolah berkenaan,” katanya.

Mohd Azizee turut meminta Jabatan Pendidikan negeri mengambil perhatian serius terhadap penganjuran ini walaupun ia berlangsung di sekolah persendirian.

Sementara itu, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendesak supaya kerajaan negeri termasuk Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) memantau aktiviti berkenaan.

Ahli Jawatankuasa Pusat Isma, Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, program sebegitu tidak sepatutnya dianjurkan kerana bertentangan dengan budaya Islam.

Malah, katanya, penganjur dilihat bertindak berani apabila membuat iklan dan promosi mengenai malam halloween dalam bahasa Melayu.

0 comments:

share2