Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 30, 2014

ANAK MENGAMUK BAKAR RUMAH

Matitah (kiri) yang kini tinggal sehelai sepinggang membawa Mohamad Nor melihat keadaan rumahnya yang terbakar, semalam.


MARANG - Seorang pemuda dipercayai penagih dadah berusia 34 tahun bertindak di luar batasan apabila membakar rumah pusaka peninggalan arwah bapanya di Kampung Titian Baru, Bukit Payong dekat sini, lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, menyebabkan ibunya, Matitah Muda, 58, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah papan peninggalan arwah suaminya, Mat Ali Salleh musnah dalam kebakaran.

Matitah berkata, dokumen penting, pelbagai peralatan rumah antaranya empat unit peti televisyen dan peralatan elektrik lain serta joran bernilai lebih RM4,000 termasuk wang tunai berjumlah RM1,300 turut musnah dalam kejadian itu.

Menurutnya, anak lelakinya itu mengamuk kerana tidak diberi wang dipercayai untuk digunakan bagi mendapatkan barang terlarang itu lalu bertindak memecah cermin tingkap sebelum membakar sebuah bilik di dalam rumah.

“Selepas membakar bilik tidur mak cik, dia (anak) menunggu mak cik keluar dari rumah ini sedangkan mak cik tiada di rumah ketika itu kerana berada di luar. Mak cik takut dan tahu dia akan bertindak ganas kalau tidak dapat wang.

“Selepas dia bakar rumah ini, mak cik tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana api cepat merebak,” kata ibu tunggal lima anak itu kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan Pengerusi Penyelaras Dun Bukit Payong, Mohamad Nor Endot.


Pernah ugut mahu bunuh ibu

Matitah berkata, dia kesal dengan perangai anak keduanya itu yang tidak pernah mahu berubah walaupun pernah dipenjarakan beberapa kali atas kesalahan menyalahgunakan dadah malah sanggup mengugut untuk membunuhnya.

Menurutnya, sudah tujuh kali anaknya ditahan dan dipenjarakan kerana pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah dan dia turut difahamkan bahawa anak lelakinya itu sudah empat hari tidak tidur sebelum bertindak membakar rumah itu.

“Dia (anak) tidak tidur kerana (dipercayai) kesan pengambilan dadah. Mak cik juga dilanda pelbagai dugaan sejak dia terlibat dengan dadah. Malah, habis barangan dalam rumah hendak dijualnya selain selalu minta duit.

“Kalau boleh biar dia (anak) duduk kat dalam (penjara) lebih lama selepas ini,” katanya yang turut memaklumkan anaknya telah ditahan polis untuk siasatan dan berterima kasih kepada pihak bomba kerana berjaya mengawal kebakaran.

Dalam pada itu, lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu bergegas ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran itu selepas menerima panggilan mengenainya kira-kira jam 12.10 pagi semalam.


Hangus 90 peratus

Komander Operasinya, PBK II Ismail Wahab berkata, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya manakala kebakaran itu melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal terbakar 90 peratus.

“Tiada mangsa cedera manakala punca serta kerugian masih disiasat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Dun Bukit Payong, Mohamad Nor Endot yang menziarahi keluarga mangsa berjanji membantu keluarga terbabit melalui saluran bantuan disediakan kerajaan dalam tempoh terdekat ini.

“Biasanya kita akan cuba memohon bantuan rumah baru namun ia mengambil masa. Kita akan maklumkan mengenai kejadian ini kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Terengganu terlebih dahulu untuk tindakan lanjut.

“JKM akan memperincikan perkara ini sebelum memutuskan bentuk bantuan akan disalurkan kepada keluarga mangsa,” katanya yang turut bersimpati dengan nasib mangsa serta menyampaikan sumbangan peribadi kepada Matitah.




0 comments:

share2