Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 30, 2014

ROMPIN : MAUT TAK SEMPAT BELI UBAT GOUT

Orang awam memberhentikan kenderaan untuk melihat keadaan mangsa, manakala pihak polis sedang mengawal lalu lintas.


ROMPIN – Seorang warga emas, Long Md Aroff, 80, yang menunggang motosikal menuju ke Bandar Kuala Rompin, maut dalam satu kemalangan di KM 149 Jalan Kuantan-Johor Bahru berhampiran Kampung Jawa sekitar jam 8.20 pagi semalam.

Anak mangsa, Mohd Saiful Long, 27, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan ayahnya itu adalah pagi hari sama ketika dia sedang bersiap-siap untuk pergi menyembur racun di sawah.

“Ayah sempat berjumpa dengan saya pagi tadi (semalam) dan dia minta wang untuk pergi ke bandar, mungkin untuk pergi beli ubat gout.

“Saya berikan sedikit wang dan dia ucap Alhamdulillah serta mengucup wang tersebut. Tidak sangka setengah jam selepas pemergiannya itu, saya terima panggilan daripada kakak yang memaklumkan ayah terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Saiful berkata, dia terus meninggalkan mesin racun dan pergi ke lokasi kemalangan dan sewaktu tiba ayahnya masih lagi hidup, tetapi sudah nazak.

“Kami angkat ayah dan hantarnya ke hospital menaiki kereta abang. Doktor yang merawat mengatakan keadaan ayah kritikal dan tidak lama kemudian ayah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata, kemalangan dipercayai melibatkan dua kenderaan iaitu motosikal jenis Yamaha Ego dan sebuah lori.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal dari bahu jalan sebelah kiri menuju ke Johor Bahru melintas jalan menghala ke Bandar Kuala Rompin, manakala lori berkenaan dengan nombor pendaftaran tidak diketahui dari arah Johor Bahru menuju ke Kuantan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa melintas jalan dengan melulu dan bergesel dengan sebuah lori lalu terbabas,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Johari, akibat daripada kemalangan, mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Rompin untuk diberikan rawatan, namun meninggal dunia ketika sedang dirawat.

“Pemandu lori masih tidak dapat dikesan dan butiran mengenai lori juga setakat ini masih belum diketahui kerana pemandu lori dipercayai telah meninggalkan tempat kejadian. Siasatan lanjut masih dijalankan.

“Sesiapa yang berada di lokasi dan menyaksikan kejadian diminta memberikan maklumat di IPD Rompin atau menghubungi di talian 094145222 untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, berita mengenai kematian warga emas itu mendapat perhatian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rompin.

Pengurus Besar PPK Rompin, Suriadi Abdul Jalal, berkata, mangsa, Long Md Aroff merupakan ahli PPK Rompin di Unit Peladang Kampung Setajam.

“Sebagai ahli, PPK Rompin akan mengeluarkan sumbangan dan khairat kematian untuk meringankan beban yang perlu ditanggung oleh waris.

“Selain itu, disebabkan mangsa maut dalam kemalangan, maka PPK Rompin membayar khairat kematian sebanyak RM1,900 berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Suriadi berkata, kelebihan menjadi ahli PPK sedikit sebanyak dapat membantu waris atau ahli itu sendiri jika ditimpa sebarang bencana atau musibah.

“Pihak PPK Rompin juga mengucapkan takziah kepada waris mangsa dan berharap dapat bersabar dengan dugaan tersebut,” katanya.




0 comments:

share2