Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 29, 2014

ALUMNI UM KELANTAN KECEWA TINDAKAN MAHASISWA


Kota Bharu - Alumni Universiti Malaya (UM) Cawangan Kelantan kesal dengan tindakan segelintir mahasiswa yang menyertai acara pidato Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus universiti itu kelmarin.

Pengerusinya, Datuk Ismail Md Noor berkata, mahasiswa tidak perlu menyertai aktiviti yang menjurus kepada isu peribadi Anwar itu kerana masih banyak isu lain yang perlu diberi perhatian seperti ancaman terhadap negara.

"UM adalah gedung ilmu tertua di negara ini dan perkara ini tidak boleh diterima," katanya kepada pemberita ketika mengulas acara pidato itu di sini semalam.

Beliau berkata, mahasiswa sepatutnya tidak terpengaruh dengan agenda politik yang dibawa ketua pembangkang itu.

"Ini merupakan isu peribadi beliau (Anwar), jadi mahasiswa tidak perlu ikut campur kerana negara kita ada sistem perundangan, jadi kita biar undang-undang yang menentukannya," katanya.

Semalam, kira-kira 300 belia termasuk beberapa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) merempuh masuk pintu pagar UM pada pukul 9.20 malam untuk menghadiri acara pidato ketua pembangkang itu yang bertajuk '40 Tahun Dari UM Ke Penjara' anjuran Persatuan Mahasiswa UM.

Program itu tidak mendapat kebenaran UM dan pihak keselamatan universiti itu mengunci pintu pagar utama universiti.

Universiti Malaya (UM) hari ini membuat laporan polis berhubung pencerobohan kawasan tanpa kebenaran berikutan perhimpunan haram di kampusnya.

Ketua Unit Media dan Korporat UM Izzad Zalman Abd Kader dilaporkan berkata para peserta perhimpunan telah merempuh masuk ke dalam UM dan telah menyebabkan pagar utama UM rosak.

Katanya, satu siasatan dalaman akan dijalankan UM terhadap pelajar universiti itu yang terlibat dalam perhimpunan malam tadi mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 serta mengikut Perlembagaan Universiti itu.

0 comments:

share2