Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 29, 2014

TEMERLOH : TOMBOY LARIKAN WANG TAUKEH KEREPEK

Abdul Aziz dan isteri Rojatimah menunjukkan pelbagai jenis kerepek yang dipilih tomboi terbabit
sebelum rakannya melarikan wang tunai dan barangan kemas berharga RM3,000 pada Jumaat lalu


TEMERLOH - Sepasang suami isteri kerugian sebanyak RM3,000 apabila wang tunai hasil perniagaan dan barang kemas dilarikan dua individu termasuk seorang ‘tomboi’ yang berpura-pura mahu memborong kerepek di kedainya, di sini tengah hari kelmarin.

Mangsa, Rojatimah Mat Sohor 53, berkata, kejadian berlaku sebelum solat Jumaat kelmarin apabila dia didatangi seorang tomboi dan seorang lagi lelaki Melayu berjanggut yang berpura-pura memborong kerepek untuk dipasarkan ke Sabah.

Menurutnya, tomboi itu masuk ke kedai bersama seorang lelaki dan memilih enam jenis kerepek yang setiap peket seberat lima kilogram dan dilonggokkan di kaunter bayaran.

“Ketika menghulurkan bil kepada tomboi itu dia bagi tahu saya duit tidak cukup dan perlu ke bank untuk mengambil duit.

“Pada masa sama saya nampak kelibat seorang lelaki masuk ke dalam kedai. Ketika sibuk melayan tomboi itu, lelaki terbabit menyelongkar barang berharga yang diletakkan di ruang solat bilik di sudut belakang kedai.

“Tidak lama kemudian mereka berdua beredar untuk mengambil duit di bank namun sehingga petang saya tunggu mereka terus tak datang lagi,” katanya.

Merasakan sesuatu yang pelik, Rojatimah memeriksa beg duit miliknya yang diletakkan di bilik solat dan terkejut apabila wang tunai hasil perniagaan dan wang belanja harian serta barangan kemas bernilai RM3,000 telah lesap dilarikan.

Menurutnya, dia mengesyaki lelaki yang datang bersama tomboi itu melarikan wang dan barang kemas itu kerana sebelum mereka tiba dia sempat memeriksa wang di dalam beg tangannya.

Rojatimah berkata, dia kerugian RM1,152 duit perniagaan, RM300 duit belanjanya serta subang dan rantai emas bernilai RM1,500 akibat dilarikan kedua-dua individu itu.

Sementara itu suami mangsa, Abdul Aziz Ismail 60, berkata, kejadian berlaku ketika dia keluar untuk solat Jumaat.

Menurutnya, dia baru tiga bulan berniaga kerepek di kawasan itu dengan bekalan diambil dari anaknya di Sepang, Selangor.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan taktik yang digunakan penjenayah untuk mencuri, mereka boleh datang dengan pelbagai gaya untuk mengaburi pandangan ramai,” katanya.

Abdul Aziz berkata, dia bersama isteri kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh berhubung kejadian itu.





0 comments:

share2