Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 2, 2014

TEMERLOH: JKM PERUNTUK RM6.3 JUTA


Temerloh - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang memperuntukkan sebanyak RM6.3 juta membiayai operasi 51 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang membabitkan 1,536 pelatih pada tahun ini.

Penyelaras PDK Negeri Pahang, R Nmartadinata Mohd Yusof berkata, pembiayaan itu membabitkan kos operasi, elaun 1,536 pelatih, gaji guru dan aktiviti pengayaan khas untuk pelatih.

Menurutnya, pelatih yang mengikuti kelas di PDK terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan perhatian khas seperti autisme berbanding yang belajar di kelas aliran khas sekolah biasa.

“Peruntukan untuk PDK tahun ini lebih tinggi berbanding RM6.1 juta yang diterima tahun 2013 dan dijangka peruntukan bagi bajet 2015 lebih tinggi berikutan pertambahan dua PDK baharu.

“Pejabat JKM Pahang mencadangkan dua PDK baharu diwujudkan pada 2016 iaitu di Felda Bukit Goh, Kuantan dan di Simpang Pelangai, Bentong,” katanya selepas menghadiri sambutan hari keluarga PDK Cahaya Warisan di Mentakab, di sini.

Turut hadir, Ketua Puteri Umno Bahagian Temerloh, Suhaya Elly Rosli; Pengerusi PDK Cahaya Warisan, Anuar Abdul Rahman dan Setiausaha Agung Alumni Majlis Belia Felda Malaysia ( AMBFM) Suhaimi Tan.

Menurutnya, pelatih di PDK terdiri daripada OKU berusia 2 tahun sehingga 34 tahun yang dibimbing oleh guru supaya dapat menguasai asas pelajaran dan berupaya menguruskan diri sendiri.

Beliau berkata, ada di antara pelatih itu terlantar di rumah masing-masing tetapi guru di PDK setempat akan tetap mengambil masa untuk menziarahi mereka secara berkala.

“Ibu bapa yang mempunyai anak OKU perlu mendaftar diri dengan PDK tempat kerana mereka diberi latihan kendiri di samping dibayar elaun bulanan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan komuniti setempat memohon kepada JKM untuk menubuhkan PDK di kawasan kediaman jika terdapat ramai bilangan OKU.

Menurutnya, penubuhan PDK menggalakkan sikap prihatin, berdikari dan rasa tanggungjawab masyarakat tempatan dalam program pemulihan orang kurang upaya.

0 comments:

share2