Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 13, 2014

'TANGKAP DULU, CERITA KEMUDIAN'


Shahidan bersalaman dengan nelayan yang hadir pada Sesi Dialog bersama wakil nelayan Terengganu di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini semalam.

Kuala Terengganu - “Tangkap dulu, lepas tu baru kita cerita kemudian,” tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berhubung isu salah guna bot di kalangan warga asing yang menghantui nelayan khususnya di Pantai Timur.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Sesi Dialog bersama wakil nelayan Terengganu di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini kelmarin, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Maritim, Datuk Mohd Amdan Kurish.

Menurutnya, pendekatan itu kini dipraktikkan melalui APMM serta agensi terlibat itu, bagi mengekang kegiatan pencerobohan nelayan asing yang semakin berani mencabar undang-undang dan kedaulatan negara.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara ini susulan satu laporan polis dibuat nelayan tempatan berhubung ancaman keselamatan, berikutan nelayan asing telah melepaskan dua tembakan kepada mereka di Perairan Laut Tenggol di Dungun minggu lalu.

Sehubungan itu, satu operasi bersepadu dilancarkan dengan kerjasama Jabatan Perikanan, Jabatan Imigresen, Jabatan Taman Laut Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi mencari pelaku yang menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan.

“Mereka (nelayan asing) yang ada lesen atau tiada akan ditangkap dahulu dan dibawa ke pangkalan dan botnya akan digeledah di pangkalan juga. Kita tidak lagi geledah di atas laut.

Malah kali ini pemegang lesen bot akan dipertanggungjawab dan dipanggil untuk disiasat.

“Sebab kalau geledah di atas laut, orang akan tuduh kita bermacam-macam kalau kita tidak dapat bukti dan lepaskan. Bila kita lepaskan mereka, orang ramai tuduh kita makan rasuah, jadi kita tidak mahu itu berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, meskipun tindakan tersebut dilihat akan mengundang kontroversi, namun, ia terpaksa dilaksanakan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

“Kita tau benda ni kontroversi sikit tapi biasalah. Semua benda sekarang akan dilihat sebagai kontroversi. Contohnya, Akta Hasutan kata keselamatan tak terjaga dan sebagainya.

Sekarang ni, kita ada undang-undang, jadi, kita kena bertindak.

“Maka, saya akan bertindak dalam ruang lingkup undang-undang yang diberi ini,” katanya.

Menurut laporan polis, pada 2 September lalu, sebuah bot nelayan asing yang sedang menangkap ikan di perairan laut Tenggol telah dilanggar bot pukat tunda yang menunda satu pukat dengan dua buah motobot dipercayai kepunyaan nelayan asing tetapi didaftarkan atas motobot kargo kepunyaan Malaysia.

Nelayan tempatan telah mengejar motobot berkenaan sehingga dua batu nautika bagi memberitahu motobot berkenaan telah melanggar tali sauh mereka sebelum dua das tembakan amaran telah dilepaskan sebelum mereka berubah haluan kerana bimbang akan keselamatan.

0 comments:

share2