
Pekan – Seorang lelaki warga emas maut ketika sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Seri Inderapura 2, Kuantan selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 64 Jalan Kuantan-Segamat, semalam.
Dalam nahas pada jam 8.15 pagi itu, Samsudin Chik, 60, yang memandu sendirian meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dipandu bertembung dengan sebuah treler dari arah bertentangan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan maut tersebut melibatkan kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa dan sebuah treler muatan kayu/papan jenis Scania dipandu Azizi Suboh, 29, yang berasal dari Kampung Seberang Gelugur, Jementah Johor.
Menurutnya, mangsa dikatakan datang dari Muadzam Shah (arah Kuantan) dan sedang dalam perjalanan pulang ke Kuantan manakala treler berkenaan sedang membawa muatan kayu dari Rantau Abang, Terengganu menuju ke Segamat.
“Siasatan awal polis mendapati kereta yang dipandu mangsa terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler berkenaan secara berdepan.
“Pemandu treler yang cuba mengelak bagaimanapun tidak sempat berbuat demikian sebelum kenderaannya terbalik bersama muatan dan merentangi jalan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Yahaya berkata, mangsa disahkan meninggal dunia serta merta akibat kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh warisnya manakala pemandu treler mengalami kecederaan koyak otot tangan sebelah kiri dikejarkan ke hospital sama bagi tujuan rawatan.
Menurutnya, kereta mangsa mengalami kerosakan teruk terutamanya di bahagian hadapan manakala keadaan lori yang terbalik merentang jalan menyebabkan kesesakan berlaku lebih empat jam sebelum ia berjaya dialihkan.
Siasatan juga mendapati kemalangan tersebut berlaku di kawasan jalan yang sedikit berselekoh ke kanan, garisan berkembar dan menaik bukit. Keadaan cuaca juga baik dan terang.
Menurutnya, jenazah mangsa yang turut dimaklumkan adalah bapa kepada salah seorang pegawai polis yang bertugas di Bahagian Jenayah Komersial, IPD Muar Johor telah dituntut keluarga bagi tujuan pengebumian dan kes berkenaan masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

0 comments:
Post a Comment