Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 13, 2014

BERHENTI SEKOLAH BUKAN PENGHALANG


Kamaradin

Kangar - Biarpun terpaksa menamatkan persekolahan di tingkatan tiga akibat kemiskinan, anak sulung daripada enam beradik ini cekal mengharungi kehidupan dengan menjadikan agama sebagai landasan hidupnya.

Kamaradin Mohd Napiah, 60, telah dilantik menjadi imam di Masjid Saidina Omar Al Khattab Kampung Guar Syed Alwi sejak 18 tahun lalu.

Menurutnya, selepas mengakhiri zaman persekolahan bagi memberi peluang kepada adik-adiknya menyambung pelajaran, beliau tidak pernah leka dan alpa dengan kehidupan di zaman remajanya.

Berlatar belakangkan keluarga yang mementingkan pendidikan agama, Kamaradin tidak hanyut mengejar keseronokan malah dia memilih untuk berdikari dengan mencari pekerjaan untuk membantu kedua ibu bapanya.

Bercerita mengenai kehidupan masa lalunya, Kamaradin memilih untuk berkongsi mengenai pengalaman yang boleh memberi semangat supaya orang di luar sana mendekati ilmu agama.

“Ibu bapa saya tidak mempunyai wang untuk menghantar saya ke sekolah agama, namun itu tidak membataskan saya menuntut ilmu ALLAH yang luas.

“Di mana saja ada majlis ilmu saya akan pergi, terutama di masjid atau surau di sekitar negeri ini. Biarpun pengajiannya tak rasmi namun apabila saya mendengar, saya akan belajar bersungguh-sungguh dan cuba mengingati apa yang diajar,” katanya
ketika ditemui di masjid tersebut.

Kamaradin berkata, beliau tidak akan mempersia-siakan majlis ilmu atau ceramah agama yang dihadirinya, bagi memudahkan beliau mengingati perkara yang dipelajari, perasaan menghormati guru dan ibu bapa harus mendalam di dalam jiwa.

"Keberkatan ilmu itu penting supaya ia sebati di dalam diri selain diamalkan dan dimanfaatkan pula kepada orang lain," katanya.

Rezeki datang bila dekati agama

Kamaradin berkata, berkat doa dan ketabahannya, beliau diterima kerja untuk menjawat jawatan pembantu kesihatan awam di Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Katanya, sebagai kakitangan kerajaan, beliau menjalankan tanggungjawab dengan amanah di samping tidak pernah melupakan tanggungjawabnya untuk terus menuntut ilmu dengan berada di masjid selepas waktu bekerja.

“Alhamdulillah pada 1996 saya dilantik menjadi imam dua di Masjid Saidina Omar Al Khattab, tugas sebagai imam saya pikul dengan rasa ikhlas.

“Walaupun tak ada sijil khas dalam pendidikan agama, atas dasar kepercayaan anak qariah dan pemimpin tempatan, saya diberi kepercayaan untuk menjadi imam di sini,” katanya.

Setelah 10 tahun, Kamaradin akhirnya dilantik menjadi imam utama di masjid itu dan tugas berat itu digalas dengan misi untuk mempelbagaikan pendekatan serta usaha dakwah kepada jemaah masjid dan anak-anak kariah.

"Ia juga turut meliputi seluruh masyarakat secara umumnya bagi merealisasikan pengimarahan seperti yang dituntut Allah. Itulah misi saya yang juga misi ahli jawatankuasa dan pegawai-pegawai masjid.

“Apa yang penting adalah kesedaran mereka untuk kembali menghayati, mengamalkan dan memperjuangkan sepenuhnya ajaran Islam yang syumul,” katanya.

Aktif dengan aktiviti masjid

Sebagai imam, beliau bersama AJK masjid sentiasa mengadakan pelbagai aktiviti terutama melibatkan anak muda supaya golongan ini tidak terjerumus dengan masalah sosial.

“Dengan wujudnya biro ekonomi, sosial, agama dan sukan pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan dengan jayanya di masjid tersebut.

“Apabila masjid aktif mengadakan pelbagai aktiviti, akhirnya masjid ini terpilih menjadi masjid terbaik negeri dan mewakili Perlis ke Anugerah Masjid Malaysia,” katanya.

Kamaradin berkata, bersandarkan tujuan mencari keredaan ALLAH, tujuan beliau berkongsi kejayaan masjid tersebut bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tetapi berharap dapat menjadi contoh kepada masjid lain agar dapat mengambil pendekatan seperti yang dibawa oleh beliau dan AJK masjid.

"Saya menasihatkan masyarakat dan diri saya sendiri supaya lebih mementingkan pandangan ALLAH daripada sanjungan manusia agar dapat menjauhkan sifat riak serta sombong selain mencari rahmat Ilahi," katanya.

0 comments:

share2