Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 26, 2014

SEBUTAN SEMULA KES NIZAR FITNAH NAJIB 28 OKTOBER


Mohammad Nizar dalam sidang media, kelmarin.

Ipoh - Mahkamah Sesyen Ipoh menetapkan 28 Oktober untuk sebutan semula kes bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang didakwa memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dua tahun lepas.

Hakim Madihah Harullah menetapkan tarikh itu bagi membolehkan pihak pendakwaan dan pembelaan mengadakan prarundingan perbicaraan di luar mahkamah.

Pada prosiding sebutan semula kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud mencadangkan rundingan itu diadakan bagi memberi peluang kepada pihak pembelaan untuk mengemukakan sebarang permohonan sekali gus mempercepatkan pendakwaan dijalankan.

"Pihak pendakwaan dan pembelaan telah mengadakan perbincangan untuk mengadakan prarundingan perbicaraan dan dicadangkan agar ia dijalankan dari tarikh hari ini," katanya.

Katanya hasil prarundingan itu akan diberitahu pada prosiding sebutan semula kes.

Peguam yang mewakili Nizar, Datuk Yusof Mohd Zainal Abidin memberitahu bahawa pihaknya tiada bantahan mengenai perkara itu dan akan mengemukakan sebarang permohonan dalam tempoh tiga minggu.

Ketua Pembangkang Perak dan Adun Changkat Jering itu dilihat hadir bersama isterinya, Datin Seri Fatimah Taat serta beberapa pimpinan pembangkang lain.

Mohammad Nizar, 57, yang beralamat di Sungai Rokam di sini dituduh memfitnah Najib dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan di sini antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012.

Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam Lampiran A, yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan itu, akan merosakkan nama baik
Najib.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohammad Nizar diwakili 13 peguam yang diketuai Yusof manakala pihak pendakwaan diwakili Masri yang juga Ketua Unit Pendakwaan Negeri Perak dan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab.

0 comments:

share2