Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 26, 2014

PANTAI CAHAYA NEGERI PD DITUTUP


Port Dickson - Pantai Cahaya Negeri di Batu 5, Jalan Pantai di sini akan ditutup kepada orang ramai bagi sebarang aktiviti riadah pantai bermula pada 4 September lepas hingga 3 September tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri, Tun Hairudin Abu Bakar berkata, selain Pantai Cahaya Negeri, penutupan itu juga termasuk Pulau Burung dan laluan masuk ke pantai berkenaan.

"Penutupan ini berikutan kerja-kerja peningkatan kemudahan pelancongan di pantai itu. Projek peningkatan kemudahan pelancongan ini membabitkan peruntukan sebanyak RM2.7 juta daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya antara projek peningkatan kemudahan pelancongan itu ialah kemudahan tempat letak kereta, menara tinjau, menaik taraf pencahayaan, laluan pejalan kaki sepanjang 100 meter di Pulau Burung dan laluan pejalan kaki sepanjang 500 meter di kawasan Pantai Cahaya Negeri , kedai cenderahati, pentas terbuka, tandas awam, surau dan wakaf.

Katanya elemen menarik di sini ialah menara tinjau setinggi 15 meter yang pertama dibina di pantai peranginan ini untuk orang awam.

"Menara tinjau yang terletak di Pulau Burung ini boleh menampung 20 hingga 30 orang dalam satu-satu masa. Ia dibina khusus untuk pengunjung dan pelancong melihat persekitaran pantai yang indah di situ," katanya.

Tun Hairudin yakin dengan projek ini Pantai Cahaya Negeri akan menjadi satu ikon pelancongan menarik kepada Port Dickson bersesuaian dengan pengiktirafan Port Dickson sebagai Pantai Peranginan Negara.

Katanya walaupun Pantai Cahaya Negeri ditutup tetapi pengunjung boleh berkelah di kawasan pantai lain di sekitar Port Dickson.

0 comments:

share2