Raub - Malang buat pemandu dan kelindan lori apabila mereka ditahan kerana dipercayai memiliki dadah dalam Ops Tapis yang diadakan Polis Daerah Raub, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu ditahan hasil maklumat awam dan risikan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah.
Menurutnya, hasil pemeriksaan polis ke atas lori milik suspek menjumpai beberapa beg plastik yang mengandungi beberapa peket plastik berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah.
“Hasil pemeriksaan juga turut menjumpai beberapa keratan aluminium dan dedaun kering yang juga disyaki dadah,” katanya.
Tambahnya, semakan polis ke atas kedua-dua suspek juga mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai satu kesalahan rekod jenayah lampau.
“Polis turut melakukan ujian saringan awal di mana kedua-dua suspek yang merupakan pemandu dan kelindan lori itu positif dadah jenis Amphetamine dan THC,” katanya.
Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan ke atas kedua-dua suspek di bawah Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 6 di bawah akta yang sama di mana jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau tempoh tidak kurang dari lima tahun dan hukuman tidak kurang dari 10 sebatan.
Wan Mohd Samsudin dalam pada itu berkata, penularan kegiatan pengedaran dan penagihan dadah akan dapat dibendung dengan adanya kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti terbabit kepada pihak berkuasa.
“Kamu juga akan berusaha sedaya-upaya untuk membanteras sebarang kegiatan dadah dari terus merebak di daerah ini.
“Kami juga berharap agar masyarakat terus memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan terbabit dengan menghubungi talian hotline IPD Raub iaitu 09-3554999 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
0 comments:
Post a Comment