Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 1, 2014

MARAN: BUAT LAPORAN JIKA MAJIKAN LANGGAR UNDANG-UNDANG


MARAN - Golongan pekerja terutama pekerja asing di negara ini diminta melaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia jika mendapati majikan mereka melakukan penyelewengan dan mengabaikan kebajikan mereka.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib berkata, mereka tidak boleh mengambil tindakan di tangan sendiri dengan merusuh atau melakukan demonstrasi jika tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara.

"Sebarang tindakan di luar bidang kuasa dan undang-undang seperti merusuh dan demonstrasi hanya akan mencetuskan huru-hara yang akhirnya akan merugikan pihak majikan dan pekerja sendiri.

Sebaiknya, jika ada sesuatu perkara yang didapati tidak kena, golongan pekerja ini perlu melaporkannya kepada kementerian bagi membolehkan siasatan dijalankan seterusnya diambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian kira-kira 800 pekerja warga asing di kilang pemacu cakera keras di Kulaijaya yang merusuh, Selasa lepas ekoran tidak berpuas hati terhadap layanan oleh pihak majikan.

Mereka yang terdiri daripada warga Nepal, Myanmar, Bangladesh dan Vietnam turut bertindak membakar sebuah kereta, membaling batu dan merosakkan bangunan kilang sehingga memaksa anggota Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dipanggil bagi mengawal keadaan.

Ismail berkata, di Malaysia ketika ini terdapat kira-kira dua juta pekerja asing berdaftar dan mereka seharusnya bekerja dengan tekun serta mematuhi etika serta undang-undang pekerjaan di negara ini jika tidak mahu dikenakan tindakan.

Beliau berkata kejadian yang sedemikian boleh dielakkan jika majikan, pekerja dan kesatuan pekerja menjalankan rundingan jika menghadapi sebarang masalah.

"Pekerja perlu mengemukakan masalah dengan baik, manakala majikan perlu bertimbang rasa dan bertolak ansur serta mendengar pandangan pekerja. Jika sikap itu diamalkan sudah pasti tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Ismail yang juga Anggota Parlimen Maran berkata, siasatan lanjut berhubung perkara itu kini sedang dilakukan dan kementerian akan mengambil tindakan sebaik sahaja siasatan selesai.

Terdahulu Ismail menyampaikan bantuan serta beramah mesra dengan 90 pelajar daripada Parlimen Maran yang akan berjaya memasuki ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara.

0 comments:

share2