Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 30, 2014

KUANTAN : TAMBAH 7 PENGKALAN HADAPAN HADAPI BANJIR PAHANG



KUANTAN - Tujuh pangkalan hadapan baharu disediakan sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula 15 November depan di Pahang.

Setiausaha Kerajaan negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata penambahan jumlah pangkalan hadapan itu dijangka dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan dan keperluan asas di pusat pemindahan.

Katanya pada tahun lepas sejumlah 73 pangkalan hadapan di seluruh negeri disediakan dan dengan penambahan jumlah itu pihaknya berharap tidak lagi berlaku masalah kekurangan bekalan untuk mangsa banjir di pusat pemindahan.

"Bekalan makanan dan barangan keperluan lain akan diagihkan di semua pangkalan hadapan bermula Rabu ini dan Jabatan Kebajikan Masyarakat memperuntukkan kira-kira RM1 juta bagi menyediakan barangan keperluan ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Negeri di sini, hari ini.

Katanya selain itu, kerajaan negeri juga sudah mengenal pasti lokasi pusat pemindahan baharu bagi menggantikan pusat pemindahan sedia ada di kawasan Sungai Isap dan Bukit Rangin yang tidak lagi sesuai kerana turut dinaiki air.

Muhammad Safian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Pahang berkata pusat pemindahan baharu itu akan bertumpu di kawasan Indera Mahkota, di sini.

Menurutnya proses pemindahan penduduk akan diselaraskan oleh pasukan keselamatan iaitu Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan agensi lain.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Pahang Azemi Daud berkata jumlah taburan hujan pada musim tengkujuh tahun ini dijangka menurun berbanding tahun lepas berikutan kejadian ribut taufan di kepulauan Filipina.

"Jumlah taburan hujan sehingga awal bulan ini ialah 45 peratus saja dan ini berkemungkinan ada kaitan dengan beberapa siri taufan yang berlaku di Filipina.

"Fenomena ini adalah normal kerana setiap kali berlaku taufan, jumlah kelembapan akan dibawa bersama oleh tiupan angin taufan itu ke negara tersebut," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata semua pihak perlu sentiasa bersedia kerana ramalan kaji cuaca yang hampir tepat cuma diperoleh dalam tempoh di antara 48 jam hingga 72 jam sebelum berlaku hujan lebat seperti yang terjadi pada tahun lepas.





0 comments:

share2