Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 30, 2014

KUANTAN : RESAH PROJEK LETUP BATU

Chon Siong (tujuh kiri) bersama dengan penduduk Lorong Pelindung 51, yang berdepan dengan masalah gegaran akibat letupan batu yang dilakukan bagi kerja-kerja pembinaan rumah di kawasan ini.


KUANTAN - Penduduk di Lorong Pelindung 51, dekat sini, resah berikutan masalah letupan batu dan pengorekan serta kesan yang dialami daripada tindakan tersebut sejak Mac lepas.

Rata-rata mereka tidak bersetuju dengan kerja-kerja tersebut yang dilakukan bagi pembinaan sebuah lagi rumah di kawasan tersebut kerana bukan sahaja memberikan kesan kemusnahan malahan tekanan daripada segi emosi dan mental kepada penduduk.

Penduduk, Oi Kim, 41, berkata, kerja-kerja letupan batu untuk pembinaan rumah tersebut dikatakan dilakukan sudah melebihi 30 kali dan akan meningkat lagi memandangkan kerja-kerja mendalamkan tanah di kawasan lot tersebut masih belom selesai.

“Kita bimbang banyak perkara yang buruk akan berlaku memandangkan sedikit demi sedikit ada kesan sampingan kepada rumah penduduk berhampiran.

“Rumah saya antara yang paling hampir iaitu bersebelahan dengan kawasan letupan tersebut, walaupun terdapat tembok pemisah yang dibina namun dengan letupan batu dan pengorekan tanah dilakukan, berkemungkinan tembok tersebut akan runtuh.

“Sebelum ini tanah tersebut adalah lebih tinggi berbanding dengan aras sedia ada lot saya tetapi sekarang aras tanah itu semakin menurun dengan kerja-kerja yang mereka lakukan itu,” katanya di sini, semalam.

Turut hadir dalam lawatan ke tapak dan kawasan perumahan penduduk Bukit Pelindung, Adun Teruntum, Sim Chon Siong.

Dalam pada itu, menurut seorang lagi penduduk, Tan Seng To, 54, berkata, dia yang tinggal di kawasan tersebut lebih kurang tujuh tahun tidak pernah menghadapi masalah walaupun di kawasan ini pernah berlaku tanah runtuh tetapi dengan tindakan kontraktor meletupkan batuan menyebabkan rumah didiaminya itu mengalami kerosakan teruk.

“Pada awalnya saya memang terkejut dengan kejadian berlaku kerana tidak pernah diberitahu kontraktor untuk melakukan kerja-kerja letupan tetapi secara tiba-tiba keadaan bergegar seperti ada kejadian gempa bumi berlaku.

“Dahulu kawasan ini selamat untuk didiami tetapi dengan tindakan kontraktor yang melakukan kerja-kerja pemecahan batu dan korekan tanah di kawasan perumahan yang tidak sepatutnya dilakukan menjadikan kami sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.

“Rumah saya kini pun sudah banyak retak di dalam dan luar rumah, atap juga mengalami kebocoran disebabkan batu-batuan yang terpelanting, debu yang banyak bertaburan serta banjir lumpur turut terjadi sekiranya hujan,” katanya.

Tambahnya lagi, keadaan bertambah sukar untuk diatasi memandangkan kerja-kerja dan pemilikan tanah tersebut telah diluluskan pihak atasan dan mereka boleh meneruskannya tanpa rasa ragu.

Sementara itu, menurut Chon Siong, pihaknya akan membuat tindakan segera berhubung aduan komuniti di kawasan tersebut dengan pihak di Jabatan Pembangunan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan jalan penyelesaian.

“Memandangkan mereka arif dengan status, akta mahupun prosedur kerja-kerja letupan yang dilakukan di kawasan perumahan jadi lebih mudah untuk kita ambil tindakan selanjutnya selepas berjumpa mereka.

“Kita berjumpa bukan bertujuan hendak menakutkan atau menghentikan kerja-kerja pembinaan yang telah mendapat kelulusan ini tetapi keadaan yang membahayakan hingga penduduk berada dalam tekanan membuatkan kita perlu mencari jalan menyelesaikannya.

“Sekiranya masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan pihak berwajib, pemilik tanah atau kontraktor yang dilantik, perkara tersebut tidak akan berhenti begitu sahaja tetapi dibawa ke Sidang Dun untuk dibincangkan pada November depan,” katanya.




0 comments:

share2