Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 29, 2014

JERANTUT : KADAR JENAYAH TURUN HASIL MAKLUMAT ORANG RAMAI

Azid (kiri) menyampaikan surat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada seorang anggota polis sempena perhimpunan bulanan PDRM Jerantut, di IPD Jerantut, kelmarin.



JERANTUT - Keupayaan membendung dan menurunkan kadar jenayah di daerah ini bukan sahaja tanggungjawab dan akauntabiliti anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), malahan masyarakat di sini turut cakna dan prihatin untuk mengekalkan ketenteraman awam.

Ketua Polis Jerantut, Superintendan Azid Ismail berkata, polis diminta terus meningkatkan kecekapan dan disiplin ketika bertugas sementara masyarakat ditagih untuk sampaikan lebih banyak maklumat jenayah.

Menurutnya, menerusi kesedaran terhadap pembanterasan jenayah untuk menzahirkan senario kehidupan lebih selesa, polis wajar lebih dekat dengan masyarakat dan agensi kerajaan dalam apa juga aktiviti sosial setempat.

“Kita amat menghargai penduduk setempat yang sentiasa berganding bahu menggembleng tenaga dan sokongan dalam setiap program pencegahan jenayah di semua tempat sehingga ada penurunan kes (jenayah) tertentu,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan
PDRM Jerantut, di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD), kelmarin.

Pada majlis itu, Azid mengenakan pemakaian pangkat dua anggota berpangkat Sarjan Mejar, penyerahan surat pengesahan jawatan tiga orang berpangkat Inspektor, manakala 27 lagi anggota dan kakitangan pentadbiran IPD di sini memperoleh Anugerah Perkhidmatan
Cemerlang.

Azid berkata, semua anggota pelbagai pangkat dan unit wajar menajamkan disiplin serta tanggungjawab dalam pasukan berasaskan tugas kepolisan yang lebih profesional sejajar dengan ledakan pembangunan alaf ini.

“Pemantapan kemahiran dan komited dengan tugas tertentu berasaskan nilai integriti antara jaminan memberikan perkhidmatan terbaik serta dapat mengekalkan ketenteraman awam,” katanya.




0 comments:

share2