Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 7, 2014

TEMERLOH - SOROK DADAH DALAM BALANG KUIH RAYA


Mohd Anuar menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan kelmarin bersama balang bekas kuih raya yang ditemui di ruang tamu rumah terbabit.

Temerloh – Dua lelaki cuba menyembunyikan syabu bernilai RM25,000 dalam balang kuih raya di ruang tamu dalam usaha menyelamatkan diri ketika sepasukan polis cawangan narkotik menyerbu sebuah rumah di Jalan Bahagia di sini malam kelmarin.

Bagaimanapun usaha mereka itu tidak menjadi apabila ditahan polis yang berjaya mengesan lima paket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan Kristal dipercayai dadah jenis syabu.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.10 malam itu, kedua-dua lelaki terbabit yang berusia 20 hingga 30 tahun gagal melarikan diri dari rumah tersebut sebelum terperangkap di ruang tamu akibat dikepung sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Anuar Othman berkata, ketika serbuan dilakukan, polis terpaksa memecahkan pintu belakang selepas dua lelaki itu enggan membuka pintu termasuk memberi kerjasama.

Menurutnya, sebaik saja serbuan dilakukan, polis kemudian menemui dua sahabat terbabit berada di ruang tamu selepas gagal melarikan diri akibat dikepung sebelum polis menjalankan pemeriksaan di dalam rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan polis menemui lima paket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 101.9 gram dianggarkan bernilai kira-kira RM25,000 nilai pasaran disembunyikan di bawah meja.

“Polis turut merampas satu alat penimbang digital, satu botol kaca yang diubah suai untuk tujuan menghisap syabu, satu bungkus plastik yang berisi plastik kosong, tiga telefon bimbit jenama Samsung dan Nokia serta satu Galaxy Tab Samsung,” katanya pada sidang media semalam.

Mohd Anuar berkata, siasatan awal mendapati, syabu itu dipercayai dibawa masuk dari negeri jiran dianggarkan bernilai RM25,000 jika dijual mengikut harga pasaran gelap.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu bersama barangan yang dirampas dibawa ke Balai Polis Temerloh untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung jika disabitkan kesalahan.

Beliau berkata, polis percaya lelaki terbabit menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak setahun lalu dan menjadikan rumah milik salah seorang yang ditahan sebagai markas membungkus dadah.

“Polis juga menjalankan siasatan ke atas dua lelaki terbabit mengikut Seksyen 15 (1) (a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan yang membawa hukuman dua tahun penjara atau denda RM5,000 atau kedua-duanya,” katanya.

0 comments:

share2