Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 25, 2014

PKR TEKAD PERTAHAN KERUSI PENGKALAN KUBOR


Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad

Shah Alam - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang baharu, Nik Nazmi Nik Ahmad berikrar parti itu akan mempertahankan kerusi Dun Pengkalan Kubor, Kelantan daripada dirampas oleh sekutunya.

Menurutnya, kerusi Dun tersebut adalah kerusi tradisi milik PKR dan sepatutnya dikekalkan kepada parti itu.

"Seterusnya kita ada Pilihan Raya kecil di Kelantan dan ini kerusi PKR secara tradisi dan kita akan pertahankan.

"Kita akan berani untuk berhadapan dengan BN tidak kira siapa pun calon mereka... Kita pastikan calon kita akan menang," katanya pada Kongres Nasional PKR ke-10, semalam.

Semalam, Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Mohd Yusof meminta kerusi Dun Pengkalan Kubor diserahkan kembali kepada Pas.

“Setelah beberapa penggal sebelum ini kita telah memberi laluan kepada PKR untuk bertanding tetapi tidak diberi kemenangan. Bermakna rakyat perlukan selera baharu.

“Pas perlu mengisi tempat itu (Dun Pengkalan Kubor) kerana paling penting adalah untuk mencapai kemenangan dan saya berharap perkara ini dipertimbangkan pihak atasan,” ujar Siti Zailah.

Bagaimanapun, Muslimat Pas Kelantan menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya.

Dalam perkembangan sama, Nik Nazmi turut menyeru kesemua pimpinan dan penyokong parti untuk kekal bersatu demi memantapkan kubu milik PKR dalam memperjuangkan kemenangan kerusi Dun Pengkalan Kubor.

"Marilah kita bersama-sama mantapkan saf kita di peringkat Pusat, di peringkat Wanita PKR, di peringkat AMK kerana masih banyak cabaran yang kita perlu harungi," katanya.

PKR dijadual bertemu pimpinan Pas esok bagi membincangkan kedudukan kerusi berkenaan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menyerahkan kepada Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali untuk menyelesaikannya.

Kerusi Dun Pengkalan Kubor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser pada Rabu lepas.

0 comments:

share2