Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 28, 2014

PIALA MALAYSIA: PDRM SAH KE SUKU AKHIR, SELANGOR KEMBALI LONGLAI



Kuala Lumpur: Apa sudah jadi kepada juara 32 kali, Selangor yang kecundang buat kali kedua di laman sendiri dalam kempen Piala Malaysia musim ini, Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selepas seakan menampilkan kebangkitan, Sabtu lalu, Gergasi Merah tumbang kepada pasukan sama, Sime Darby 2-1 pada perlawanan keempat Kumpulan D.

Kekalahan - sekalipun masih belum mengakhiri perjalanan Selangor dalam kempen musim ini, membuktikan mereka terlalu goyah meskipun barisan pemain yang diturunkan boleh ditakrifkan berkualiti.

Terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Hazwan Bakri pada minit ke-62, kurang tumpuan menyaksikan gawang Selangor yang dikawal Farizal Marlias bocor menerusi Fahrulrazi Kamarudin pada minit ke-76.

Dan kesilapan Farizal terus menjadi duri dalam daging buat Selangor apabila Sime Darby meledak gol kedua menerusi Mateo Roskam pada minit ke-82 yang mencetus kemarahan Mehmet Durakovic yang pantas mengeluarkannya dan memasukkan Hamsani Ahmad namun sudah terlambat.

Kemenangan ke atas Sime Darby pula memberi 'nyawa' buat skuad kendalian Ismail Zakaria yang berjaya mengutip tiga mata pertama selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini.

Berbaki dua perlawanan, PDRM yang dibimbing Azman Adnan muncul pasukan pertama layak ke suku akhir apabila meraih 12 mata maksimum selepas menewaskan T-Team 2-1 di Kuala Terengganu manakala Selangor kekal di tangga kedua dengan 6 mata.

Ia diikuti T-Team dan Sime Darby yang kini berkongsi 3 mata.

Dalam Kumpulan B, keempat-empat pasukan masih lagi berpeluang untuk mara. Apa tidaknya, pendahulu kumpulan, Perak hanya mengumpul tujuh mata bersama Terengganu selepas kedua-duanya seri 1-1 di Stadium Perak, malam tadi.

Manakala Kedah mengutip enam mata hasil kemenangan 2-1 ke atas Sarawak yang kekal dengan jumlah tiga mata.

Justeru, sesiapa saja yang mencatat dua kemenangan berturut-turut pada baki perlawanan selepas ini, bakal memastikan kemaraan.

Pada perlawanan malam tadi, Perak gagal mensia-siakan peluang beraksi di laman sendiri sekalipun lebih dulu mendahului menerusi jaringan sendiri Vincent Bikana pada minit ke-48 sebelum Terengganu menyamakan kedudukan menerusi Nordin Alias, dua minit sebelum perlawanan tamat.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Perak gagal membalas kekalahan kepada Terengganu di laman lawan, Sabtu lalu sekalipun terus kekal di puncak kumpulan.

Kedah pula dalam pada itu mencatat kemenangan kedua ke atas Sarawak - kemenangan kedua berturut-turut di laman lawan dan tempat sendiri.

Sekalipun ketinggalan pada babak pertama menerusi S Chanthuru, Kedah bangkit menerusi jaringan Billy Mehmet (m51) sebelum Syazwan Tajudin meledak gol kemenangan pada masa kecederaan.

0 comments:

share2