Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 15, 2014

KUANTAN - PAK MAJID DAN REMAJA PEREMPUAN RENTAS TIGA NEGERI PANTAI TIMUR


Pak Majid (kanan) dan Zafikah sewaktu berjalan kaki di Terengganu bagi menyempurnakan hasrat merentas tiga negeri Pantai Timur.

Kuantan - “Saya ingin mencabar remaja lelaki lain berjalan kaki seperti saya dan buktikan kemampuan mereka.

Itu cabaran Zafikah Azmi, 18 dari Felda Lepar Hilir Satu yang melakukan kembara bersama peminat tegar Pahang, Abdul Majid Abdul Hamid ataupun mesra dipanggil Pak Majid, 58 berjalan kaki selama 10 hari bermula 4 Ogos lalu sejauh 562 kilometer (km) merentas tiga negeri Pantai Timur bermula dari Kelantan dan berakhir di hadapan Stadium Darul Makmur, di sini, kira-kira jam 11.20 pagi rabu.

Anak sulung daripada lima adik-beradik itu membuktikan kemampuannya bersama Pak Majid yang sebelum ini melakar sejarah apabila berjalan kaki seorang diri dari bandar ini menuju ke Stadium Shah Alam sejauh 280 km pada 6 November tahun lalu berikutan kejayaan skuad Tok Gajah menjuarai Piala Malaysia 2013.

Ketika ditemui, Zafikah nyata gembira dan berbangga kerana dapat menamatkan kembara itu dengan selamat walaupun ada berdepan rintangan sepanjang perjalanannya.

“Saya gembira kerana dapat berjalan bersama Pak Majid dan saya sangat berterima kasih kerana Pak Majid banyak memberikan sokongan, semangat dan tunjuk ajar.

“Sebenarnya, saya tidak pernah terlibat aktiviti sebegini dan ini kali pertama saya memberanikan diri dan spontan menawarkan diri untuk bersama selepas diberitahu ibu mengenai perjalanan ini,” katanya.

Walaupun diselubungi perasaan kurang yakin dan ketakutan, namun selepas diyakinkan Pak Majid, dia bersabar dan berjaya mengharungi cabaran yang dihadapi.

“Malah syukur sebenarnya, saya ini mengidap lelah dan sebelum perjalanan, saya bergantung pada inhaler tetapi ajaib sepanjang perjalanan ini, saya tak perlu bergantung kepada ubat dan sihat hingga kini.

“Ini menguatkan lagi semangat dan azam saya selepas ini untuk berjalan kaki seluruh Malaysia pula,” katanya yang pernah menyimpan hasrat bergelar juruterbang sebelum ini.

Ditanya pada awal perjalanannya, dia mengakui sedikit penat dan ketinggalan hingga 2km di belakang Pak Majid namun pada hari ketiga, dia mampu menyamai kelajuan Pak Majid dan kadangkala berada di belakangnya pula.

Ditanya antara insiden dan pengalaman menarik yang dialaminya, Zafikah mendakwa berdepan 'sesuatu' di atas jambatan di sebuah lokasi di Kuala Berang kira-kira jam 3 pagi.

“Seram sejuk juga ketika itu, tapi saya buat tak endah dan meneruskan perjalanan. Yang peliknya, hanya saya seorang saja nampak,” kataanya.

Sementara itu, Pak Majid sangat terharu dan bangga dengan kemampuan Zafikah yang berjaya menamatkan kembara itu dan mengharapkan lebih ramai remaja dapat mencontohi kekentalan yang dipamerkan remaja itu.

“Melihat kesungguhan dia, sangat mengharukan dan selepas ini, saya berhasrat membawa dia merentas seluruh Malaysia pula pada tahun depan.

“Walaupun ramai yang salah faham hingga ada yang kata dia ini bakal isteri saya, Zafikah tidak peduli dan saya berharap lebih ramai remaja khususnya remaja lelaki membuktikan kemampuan mereka pula,” katanya.

Katanya, menyedari ia adalah percubaan kali pertama buat Zafikah, dia banyak menasihati remaja itu terutamanya aspek pemakanan dengan meninggalkan ais batu dan tidak makan berat setiap kali sebelum memulakan perjalanan.

Pak Majid juga menghargai sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang kembara sekali gus melancarkan aktiviti tersebut hingga sampai ke destinasi.

Menurutnya, kembara itu dilakukan sebagai tanda sokongan terhadap pasukan Pahang yang bakal bersaing dalam kempen Piala Malaysia musim ini sekali gus bakal mempertahankan piala berprestij itu selain sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-57 tahun.

0 comments:

share2